Simulasi Haji Cilik Kali kesembilan didedikasikan kepada kanak-kanak, Juliah gesa program diteruskan

KOTA KINABALU: Program Simulasi Haji Cilik wajar diteruskan dan diperluaskan sebagai platform membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai penghayatan agama serta akhlak yang tinggi.

Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, berkata program berkenaan bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya medium pendidikan praktikal yang memberi peluang kepada kanak-kanak memahami rukun-rukun haji sejak usia muda.

Beliau berkata, melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, peserta didedahkan kepada tatacara ibadah haji, mengenali tempat-tempat suci serta menghayati nilai murni seperti kesabaran, disiplin, pengorbanan, kerjasama dan kasih sayang sesama insan.

“Program ini berjaya menggabungkan pembelajaran, pengalaman dan penghayatan dalam satu pendekatan yang kreatif. Inilah contoh pendidikan yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk jiwa dan akhlak anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Simulasi Haji Cilik Kali Kesembilan 2026 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Sabtu.

Juliah berkata, penyertaan daripada pelbagai tadika Islam swasta, sekolah rendah Islam dan keluarga dari seluruh Sabah membuktikan program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat.

Menurutnya, sambutan tersebut mencerminkan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menerapkan pendidikan agama kepada anak-anak sejak peringkat awal.

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu akan menyemai rasa cinta terhadap Islam serta menanam impian dalam diri peserta untuk menunaikan ibadah haji yang sebenar apabila berpeluang kelak.

Juliah turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Tadika Islam Swasta Sabah (PERTIS) atas komitmen berterusan menganjurkan program yang memberi manfaat besar kepada kanak-kanak.

“Syabas dan tahniah kepada PERTIS atas usaha murni menganjurkan program yang begitu istimewa ini. Semoga ia terus menjadi platform melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan cintakan agama,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles