TAWAU:Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSK) akan menganjurkan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di enam lokasi seluruh Sabah bagi menyemarakkan semangat kesukanan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menghidupkan kemeriahan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program itu merupakan kemuncak Festival Komuniti Havoc 2026 yang menghimpunkan belia dan komuniti untuk bersama-sama menikmati suasana Piala Dunia dalam persekitaran yang harmoni dan mesra keluarga.
Beliau berkata, tayangan skrin besar bagi aksi penentuan tempat ketiga dan final yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Julai akan diadakan di Arena Belia Tawau, Kompleks Sukan Likas (Kota Kinabalu), Beaufort, Kudat, Keningau dan Sandakan.

“Program yang berlangsung malam ini merupakan pelancaran Festival Komuniti Havoc 2026 sempena tayangan skrin besar Piala Dunia FIFA 2026.
“Insya-Allah, bagi aksi kemuncak nanti kita akan mengadakan tayangan di enam lokasi bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sabah merasai kemeriahan Piala Dunia bersama keluarga dan komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Festival Komuniti Havoc 2026 sempena tayangan skrin besar perlawanan pusingan 16 terbaik antara Mesir dan Argentina di Arena Belia Tawau, malam tadi.
Menurut Nizam, penganjuran festival itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah sebagai usaha membawa suasana Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada lebih dekat kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, selain menjadi platform hiburan dan rekreasi kepada masyarakat, program itu turut menyampaikan mesej mengenai kepentingan perpaduan, disiplin, komitmen dan semangat kerja berpasukan yang dipamerkan oleh pasukan-pasukan bertanding di pentas dunia.
“Piala Dunia bukan sekadar pertandingan bola sepak, tetapi medan yang mempamerkan nilai kesungguhan, disiplin dan semangat berpasukan dalam mencapai kejayaan.
“Nilai-nilai ini wajar dicontohi oleh golongan belia kerana kejayaan dalam apa jua bidang memerlukan komitmen, kerjasama dan kesungguhan semua pihak,” katanya.
Nizam berkata, sukan terbukti menjadi medium terbaik untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang.
“Apabila masyarakat berkumpul menyokong pasukan pilihan masing-masing dalam suasana harmoni, ia bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan.
“Semangat kebersamaan inilah yang ingin kita pupuk demi menyokong pembangunan Sabah yang aman, makmur dan sejahtera,” katanya.
Sehubungan itu, Nizam mengajak orang ramai hadir memeriahkan tayangan skrin besar final Piala Dunia di enam lokasi berkenaan, memandangkan kejohanan itu hanya berlangsung sekali setiap empat tahun. “Kita mahu rakyat Sabah merasai sendiri suasana final Piala Dunia bersama komuniti masing-masing. Festival ini bukan sekadar menyaksikan bola sepak, tetapi menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat dan menyemarakkan semangat kesukanan,” katanya.
