KOTA KINABALU:Golongan belia Sabah diseru agar mengubah semangat perjuangan kepada usaha membina kapasiti diri, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan daya saing negeri sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Penceramah jemputan, Dr. Davina Markus, berkata generasi muda perlu menjadi pemangkin pembangunan negeri dengan mengutamakan ilmu, kemahiran dan integriti berbanding hanya tertumpu kepada budaya bantahan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Bangkit Sabahan 2.0, anjuran Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), di sini, Ahad.
Menurutnya, terdapat tiga agenda utama yang perlu menjadi keutamaan belia Sabah — memperkukuh perpaduan tanpa mengira kaum dan agama, mengangkat prinsip meritokrasi dalam kepimpinan serta beralih daripada budaya membantah kepada budaya membina.
“Belia perlu menjadi pencetus penyelesaian, bukannya sekadar pengkritik. Masa depan Sabah bergantung kepada kemampuan generasi muda membina kekuatan negeri melalui ilmu, kemahiran dan kepimpinan yang berkualiti,” katanya.
Davina turut menggesa belia menguasai bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, kewangan dan pertanian moden bagi meningkatkan kebolehpasaran serta memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
“Gunakan usia muda untuk membina kepakaran, mencipta peluang pekerjaan, melahirkan usahawan dan memperkukuh ekonomi Sabah. Masa depan negeri ini bergantung kepada kemampuan kita membina kekuatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah juga perlu mengubah cara berfikir daripada terus menumpukan kepada kelemahan masa lalu kepada usaha membina masa depan yang lebih progresif dan berdaya saing.
Menurutnya, perpaduan, integriti, ilmu pengetahuan serta kecemerlangan ekonomi merupakan asas penting dalam memastikan Sabah terus maju di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Davina berkata kemarahan terhadap rasuah dan kelemahan sistem adalah sesuatu yang boleh difahami, namun perjuangan itu perlu dipandu dengan kebijaksanaan supaya tidak dimanipulasi oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
“Semangat patriotisme anak muda perlu dipelihara. Jangan biarkan perjuangan yang ikhlas dimanipulasi oleh pihak luar untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap pendiriannya mengenai autonomi imigresen Sabah, Davina menegaskan bahawa setiap pendirian yang diambil sentiasa berpaksikan kepentingan negeri.
“Apa sahaja yang membawa manfaat kepada Sabah akan saya sokong, manakala perkara yang merugikan Sabah akan saya tentang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah serta perjuangan menuntut hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha melindungi mana-mana pihak daripada penelitian awam.
Sebaliknya, kuasa itu merupakan mekanisme penting bagi mempertahankan autonomi negeri daripada campur tangan luar serta memastikan hak-hak Sabah terus dipelihara
