Ketua Wanita STAR Sabah Bingkor keluar parti, hala tuju parti tidak lagi selari

KENINGAU:Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bahagian N.40 Bingkor yang juga Naib Exco Wiranita STAR Sabah, Jennifer Epil, mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti serta penarikan diri daripada keanggotaan STAR Sabah, berkuat kuasa serta-merta.

Jennifer berkata, keputusan itu turut disertai sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita STAR Sabah Bahagian N.40 Bingkor yang sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti selepas melalui pertimbangan yang teliti.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta ruang dan peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang disifatkan tidak lagi selari dengan prinsip dan pendirian mereka.

“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas melalui pertimbangan yang mendalam demi memastikan langkah yang diambil selaras dengan nilai dan prinsip perjuangan yang kami yakini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Jennifer merakamkan penghargaan kepada kepimpinan STAR Sabah atas kepercayaan, peluang dan pengalaman yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam parti.

Beliau berkata, pengalaman tersebut banyak membentuk dirinya serta rakan-rakan menjadi pemimpin wanita yang lebih berani, bertanggungjawab dan peka terhadap kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah.

Jennifer turut menegaskan bahawa pengundurannya daripada parti tidak bermakna perjuangannya untuk berkhidmat kepada masyarakat telah berakhir. Sebaliknya, beliau bersama rakan-rakan akan terus menyumbang kepada rakyat dalam kapasiti yang lebih sesuai, berkesan dan selaras dengan nilai serta prinsip perjuangan yang diyakini.

“Kami akan terus berbakti kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negeri melalui saluran yang kami percaya mampu memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles