KOTA KINABALU:Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) mengadakan Majlis Penghargaan bagi meraikan jasa dan sumbangan mantan Timbalan Pengerusinya, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan syarikat sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi SAFMA, Datuk Mohammad Mohamarin, yang turut mengalu-alukan pelantikan Khazarudin Kahar sebagai Timbalan Pengerusi baharu SAFMA.
Mohammad berkata, pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah SAFMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Isquzawan Israq atas dedikasi, komitmen serta khidmat bakti beliau dalam memperkukuh hala tuju syarikat.
Menurutnya, sumbangan Mohd Isquzawan Israq memainkan peranan penting dalam memperkasakan industri perikanan serta pemasaran hasil laut di Sabah, sekali gus menyokong usaha SAFMA meningkatkan daya saing sektor berkenaan.
“Segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang bersama SAFMA amat kami hargai. Komitmen yang ditunjukkan telah banyak membantu memperkukuh pembangunan syarikat serta memajukan industri perikanan negeri.
“Kami mendoakan agar beliau terus berjaya dalam setiap amanah yang dipikul dan berharap hubungan baik yang terjalin akan terus berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad berkata pelantikan Khazarudin sebagai Timbalan Pengerusi baharu diyakini mampu memperkukuh lagi barisan kepimpinan SAFMA dalam meneruskan agenda pembangunan syarikat.
Beliau berkata, pengalaman dan kepimpinan baharu itu diharap dapat mempertingkatkan lagi prestasi syarikat serta memperkukuh daya saing industri perikanan negeri demi manfaat nelayan dan seluruh rantaian industri.
Turut hadir Pengurus Besar SAFMA, Burhan Jafar; Timbalan Pengurus Besar, Azis Ali Amat; Ahli-ahli Lembaga Pengarah SAFMA serta warga kerja syarikat. Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap jasa Mohd Isquzawan Israq, malah mencerminkan kesinambungan kepimpinan SAFMA dalam meneruskan kecemerlangan syarikat dan memperkasa industri perikanan Sabah.
