KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara meluluskan penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai parti komponen baharu gabungan itu, berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS selepas mengambil kira keserasian perjuangan UPKO dengan aspirasi dan hala tuju gabungan berkenaan.
Menurut beliau, kemasukan UPKO akan memperkukuh lagi kedudukan parti-parti tempatan dalam kerajaan negeri serta mengukuhkan kestabilan politik Sabah.
“Penerimaan UPKO selaras dengan prinsip perjuangan GRS iaitu Sabah First dan Sabah United, sekali gus memperkasakan kerjasama antara parti-parti tempatan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali; Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; serta Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
𝗨𝗣𝗞𝗢 𝗠𝗼𝗵𝗼𝗻 𝗦𝗲𝗿𝘁𝗮𝗶 𝗚𝗥𝗦 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝟮𝟵 𝗠𝗲𝗶
UPKO secara rasmi mengemukakan permohonan menyertai GRS pada 29 Mei lalu menerusi surat yang diserahkan Presidennya, Datuk Ewon Benedick kepada Hajiji.
Dengan kemasukan UPKO, GRS kini dianggotai enam parti komponen utama iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), PBS, LDP, PHRS, PCS dan UPKO.
𝗘𝗻𝗮𝗺 𝗭𝗼𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗮𝗻𝘁𝗮𝘂𝗮𝗻 𝗣𝗥𝗨 𝗗𝗶𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱𝗸𝗮𝗻
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jentera parti di seluruh kawasan Parlimen di Sabah.
Bagi tujuan itu, GRS melantik semua presiden parti komponen untuk mengetuai enam zon pemantauan yang bertanggungjawab menyelaras persediaan serta menilai kesiapsiagaan bahagian di kawasan masing-masing.
Hajiji akan mengetuai Zon Satu meliputi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran, manakala Masidi menerajui Zon Dua yang merangkumi Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Anifah pula dilantik mengetuai Zon Tiga melibatkan Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, sementara Joachim mempengerusikan Zon Empat yang merangkumi Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom.
Zon Lima yang melibatkan Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan diketuai Chin, manakala Zon Enam meliputi Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna diterajui Liew.
“Walaupun tempoh Parlimen masih berbaki sehingga hujung tahun depan, kita perlu membuat persiapan lebih awal bagi memastikan jentera parti berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
𝗚𝗥𝗦 𝗦𝗮𝘀𝗮𝗿 𝟮𝟱 𝗞𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗮𝗿𝗹𝗶𝗺𝗲𝗻 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗟𝗮𝗯𝘂𝗮𝗻
Hajiji turut menegaskan bahawa GRS berhasrat meletakkan calon di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah serta satu kerusi Parlimen Labuan pada pilihan raya akan datang.
