Hijrah simbol transformasi, jadikan peristiwa agung ini pemangkin ukhuwah: Hajiji

KOTA KINABALU: Umat Islam di Sabah diseru menghayati semangat hijrah sebagai landasan untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri, meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuh akhlak serta mempererat hubungan sesama insan demi membina masyarakat yang lebih bersatu dan sejahtera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, sebaliknya menjadi simbol transformasi, pengorbanan dan pembaharuan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang bukan sahaja berjaya mengembangkan syiar Islam, malah membentuk sebuah masyarakat dan pemerintahan yang berteraskan keadilan, perpaduan serta pembangunan insan.

MAAL HIJRAH: Hajiji bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Rabu.

“Sebagai umat Islam, kita perlu meneladani kejayaan Rasulullah SAW dalam membangunkan masyarakat Madinah yang bersatu padu serta mengamalkan kepimpinan yang seimbang antara kemajuan material dan pembangunan rohani.

“Saya berharap sambutan Maal Hijrah ini menjadi pemangkin untuk memperkukuh ukhuwah, memperbaharui iltizam dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

TOKOH WANITA: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M kategori wanita kepada Datuk Masnah Matsalleh pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini, Rabu.

𝗧𝗲𝗺𝗮 ‘𝗠𝗮𝗱𝗮𝗻𝗶 𝗗𝗶𝗵𝗮𝘆𝗮𝘁𝗶, 𝗨𝗺𝗺𝗮𝗵 𝗗𝗶𝗯𝗲𝗿𝗸𝗮𝘁𝗶’ 𝗕𝗲𝗿𝘁𝗲𝗽𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗔𝘀𝗽𝗶𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻
Menurut Hajiji, tema sambutan tahun ini, “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, amat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memupuk kehidupan masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati serta mengutamakan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, konsep masyarakat Madani yang diperjuangkan hari ini berasaskan teladan Rasulullah SAW dalam menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang harmoni, progresif dan berdaya maju.

“Dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai inspirasi moral dan etika dalam kehidupan bernegara, saya yakin kita mampu membina masyarakat yang berilmu, berintegriti, berakhlak mulia dan berjiwa besar,” katanya.

TOKOH LELAKI: Tun Musa Aman diiringi Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M kategori lelaki kepada Datuk Ag Sharin Alimin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

𝗛𝗮𝗿𝗮𝗽 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗺𝗮𝗶𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗷𝗮𝗴𝗮𝘁 𝗗𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗗𝗶𝗿𝗲𝗮𝗹𝗶𝘀𝗮𝘀𝗶𝗸𝗮𝗻
Dalam pada itu, Hajiji berharap tahun baharu Hijrah 1448H membawa sinar harapan dan keberkatan kepada umat Islam meskipun dunia berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan.

Menurutnya, konflik yang masih berlarutan di beberapa wilayah dunia, khususnya di Timur Tengah, amat membimbangkan dan memberi kesan kepada kestabilan serta keamanan sejagat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap segala usaha ke arah perdamaian dapat direalisasikan supaya keamanan dan keselamatan berkekalan dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya. Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Faridah Tussin; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles