KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kekal komited memperkukuh sokongan kepada golongan memerlukan termasuk individu yang hidup dengan HIV/AIDS di Sabah menerusi pendekatan lebih menyeluruh, inklusif dan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha menangani HIV/AIDS memerlukan kerjasama berterusan semua pihak bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada menerima akses rawatan dan penjagaan kesihatan.
Menurut beliau, kerajaan negeri komited memastikan bantuan dan perkhidmatan berkaitan HIV/AIDS dapat disalurkan secara menyeluruh termasuk kepada komuniti luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Kita kekal komited sepenuhnya untuk memastikan usaha ini sampai kepada komuniti di seluruh Sabah supaya tiada sesiapa pun, walau sejauh mana lokasi mereka, tercicir daripada menerima sokongan dan rawatan yang diperlukan.
“Usaha ini turut diperkukuh menerusi kepimpinan dan hala tuju strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pelan Strategik Nasional Menamatkan AIDS 2030 (NSPEA2030),” katanya pada Majlis Minum Petang Red Ribbon Kota Kinabalu anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF), pada Ahad.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Caesar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, ketika Malaysia berusaha mencapai sasaran Menamatkan AIDS 2030, akses kepada rawatan serta pematuhan terhadap rawatan perlu terus diberi perhatian sebagai agenda utama negara.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menyediakan rawatan dan penjagaan secara percuma, masih terdapat ramai individu khususnya daripada golongan berpendapatan rendah dan komuniti luar bandar berdepan kekangan kewangan serta cabaran logistik untuk mendapatkan rawatan secara konsisten.
Sehubungan itu katanya, program seperti Sabah Health Access Programme (SHAPE) memainkan peranan penting dalam membantu golongan rentan mendapatkan rawatan dan penjagaan secara lebih berkesan.
Menurut beliau, program tersebut turut melengkapi inisiatif KKM seperti Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) dan perkhidmatan di klinik kesihatan terpilih di seluruh Sabah.
“Program-program ini membantu merapatkan jurang kemiskinan dalam kalangan individu hidup dengan HIV/AIDS melalui bantuan pengangkutan ke hospital dan klinik, elaun makanan serta keperluan asas harian.
“Walaupun bantuan seperti ini kelihatan sederhana, ia sering menjadi faktor penting yang membolehkan pesakit meneruskan rawatan secara konsisten dan menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah serta penuh harapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha pendidikan dan pencegahan HIV perlu terus dipertingkatkan khususnya dalam kalangan golongan muda berikutan peningkatan kes jangkitan melalui penularan seksual.
Katanya, stigma dan maklumat tidak tepat berkaitan HIV/AIDS juga perlu ditangani secara berterusan bagi memastikan masyarakat lebih memahami isu tersebut berdasarkan fakta dan pendekatan berasaskan belas ihsan.
“Kita mesti membina masyarakat yang menangani cabaran kesihatan awam dengan kematangan, kefahaman dan empati,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kerajaan tidak mampu menangani isu HIV/AIDS secara bersendirian kerana cabaran itu memerlukan pendekatan seluruh masyarakat serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi kesihatan, organisasi masyarakat sivil, pemimpin komuniti dan sektor swasta.
Dalam hal itu, Hajiji menghargai penglibatan syarikat korporat seperti PETRONAS, Sunway Group dan Sime Darby yang turut menyokong pelbagai inisiatif HIV/AIDS di Sabah.
Katanya, kerjasama strategik sedemikian mampu mewujudkan impak yang lebih besar serta memastikan respons terhadap HIV/AIDS lebih inklusif dan mampan.
