Gagasan Rakyat siap siaga hadapi PRU

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menerusi langkah memperkukuh jentera parti dan penyusunan semula struktur organisasi berasaskan kawasan Parlimen.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi landskap politik semasa.

Menurut beliau, strategi utama parti ketika ini ialah memperkemaskan gerak kerja dan kekuatan jentera di setiap kawasan Parlimen.

“Strategi parti kita adalah untuk memperkemaskan jentera mengikut Parlimen. Kebetulan PRU Parlimen akan datang dan ia selaras dengan pindaan yang dibuat dalam parti ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

PERKUKUH PARTI:Rasinin bersama para penyokongnya menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, Gagasan Rakyat turut terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRU sebagaimana kerjasama yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Kita akan melihat seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri dan rakyat, apa salahnya.

“Matlamat kita adalah untuk terus bersatu padu dan membangunkan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kesemua kepimpinan parti sebulat suara meluluskan pindaan Perlembagaan parti dalam persidangan berkenaan.

Katanya, pindaan itu melibatkan rombakan struktur parti dengan menjadikan kawasan Parlimen sebagai bahagian parti menggantikan struktur berasaskan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pindaan daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk kelulusan.

“Selepas ini, kita akan melaksanakan pengemaskinian struktur parti menggunakan pendekatan berasaskan Parlimen,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa persidangan itu turut menyaksikan kemasukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Rasinin Kautis ke dalam Gagasan Rakyat. Beliau bersama para penyokongnya menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Hajiji.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles