KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Datuk Redonah Bahanda menyeru lebih ramai wanita di negeri ini agar tampil berani menceburi bidang keusahawanan dan memainkan peranan sebagai penggerak utama ekonomi tempatan selaras aspirasi “Usahawan Wanita Sabah Menerajui Masa Depan Barangan Malaysia”.
Beliau berkata, wanita Sabah kini semakin menyerlah dalam pelbagai sektor perniagaan dan berjaya membuktikan kemampuan mereka sebagai usahawan serta pemimpin ekonomi yang berdaya saing.
“Jika dahulu wanita hanya dilihat sebagai penyokong di belakang tabir, hari ini wanita Sabah berada di barisan hadapan sebagai pemilik perniagaan, pengusaha produk tempatan dan pencipta peluang pekerjaan.
“Ada yang memulakan perniagaan dari dapur rumah, berniaga kecil-kecilan di tamu dan memasarkan produk melalui media sosial menggunakan telefon bimbit sahaja, namun hasil kesungguhan dan keberanian, mereka berjaya mengembangkan perniagaan sehingga dikenali ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mini Inspirasi Kempen Belilah Barangan Malaysia yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada wanita, golongan profesional, beliawanis serta usahawan wanita dari seluruh Sabah.
Menurut Redonah, wanita mempunyai kekuatan luar biasa dalam menghadapi cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup demi membantu keluarga serta meningkatkan taraf kehidupan.
Katanya, kejayaan seorang usahawan wanita sering hadir bersama pengorbanan besar yang jarang dilihat masyarakat, termasuk bekerja seawal pagi, berjaga malam menyiapkan tempahan pelanggan serta berdepan kegagalan sebelum mencapai kejayaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat untuk terus menyokong produk tempatan khususnya hasil keluaran usahawan wanita Sabah yang kini semakin kreatif, moden dan berkualiti.
“Apabila kita membeli produk tempatan, kita sebenarnya membantu rakyat negara kita sendiri.
“Kita membantu usahawan kecil berkembang, membantu ibu tunggal menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan kepada anak muda dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, Kempen Belilah Barangan Malaysia merupakan platform penting dalam memperkukuh ekonomi tempatan selain membuka peluang kepada usahawan memperluaskan jaringan dan pasaran produk mereka.
Pada masa sama, Redonah berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diperluaskan bagi memberi peluang kepada wanita meningkatkan ilmu, membina keyakinan diri serta meneroka peluang perniagaan baharu.
“Wanita Sabah bukan sekadar mampu bersaing, malah mampu memimpin dan mencipta masa depan yang lebih baik untuk negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), agensi kerajaan, pihak swasta, rakan strategik dan para usahawan yang menjayakan program berkenaan.
Katanya, kerjasama berterusan semua pihak amat penting dalam memperkukuh pembangunan komuniti serta memperkasa lebih ramai wanita Sabah dalam bidang keusahawanan.
