RM559.85 juta perkukuh keterjaminan makanan, SSR Sabah dipertingkat

PAPAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di beberapa kawasan strategik seperti Papar, Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.

“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan terus kukuh, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di sini, Jumaat.

𝐒𝐨𝐤𝐨𝐧𝐠 𝐩𝐫𝐨𝐝𝐮𝐤 𝐭𝐞𝐦𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧, 𝐤𝐮𝐤𝐮𝐡 𝐞𝐤𝐨𝐧𝐨𝐦𝐢 𝐝𝐨𝐦𝐞𝐬𝐭𝐢𝐤:
Dalam pada itu, Hajiji menggalakkan rakyat Sabah untuk terus menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian negeri, sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.

Menurutnya, kemajuan pembangunan hanya dapat dicapai melalui perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐏𝐚𝐩𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐦𝐚𝐤𝐢𝐧 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧:
Hajiji turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan inklusif dan seimbang di seluruh negeri.

Katanya, daerah Papar kini menunjukkan perkembangan pesat menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, termasuk di kawasan Benoni dan Kinarut.

“Selepas siap sepenuhnya Lebuhraya Pan Borneo, Papar berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak.

“Dengan kewujudan Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Papar mampu muncul sebagai daerah yang progresif dan berdaya saing,” katanya.


𝐊𝐚𝐚𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧
𝐜𝐞𝐫𝐦𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐫𝐩𝐚𝐝𝐮𝐚𝐧 𝐒𝐚𝐛𝐚𝐡:
Beliau berkata, pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan adalah bertepatan memandangkan daerah itu terkenal sebagai kawasan jelapang padi yang subur.

“Papar bukan sahaja kaya dengan hasil pertanian, tetapi juga kaya dengan nilai budaya dan semangat kekitaan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam harmoni.

“Inilah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan,” katanya.

Tambah beliau, tema Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, amat signifikan dalam menzahirkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini.

𝐏𝐞𝐫𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐑𝐌𝟏 𝐣𝐮𝐭𝐚 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐟𝐚𝐬𝐢𝐥𝐢𝐭𝐢 𝐬𝐮𝐤𝐚𝐧:
Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan kemudahan grandstand di Papar.

Menurutnya, peruntukan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa peka terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles