KBSK usaha bawa SUKMA kembali ke Sabah

TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah menyuarakan hasrat agar Sabah kembali menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2032 sebagai langkah memperkukuh pembangunan sukan serta menaik taraf kemudahan sedia ada di negeri ini.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu telah dibincangkan secara tidak rasmi dan akan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri Sabah bagi mendapatkan sokongan rasmi kerajaan negeri.

Katanya, Sabah sebelum ini pernah menjadi tuan rumah SUKMA dan kini bersedia untuk sekali lagi menganjurkan temasya sukan berprestij itu pada masa hadapan.

“Kita telah menyuarakan hasrat ini secara tidak rasmi dan akan dibawa ke Kabinet Negeri Sabah untuk mendapatkan sokongan kerajaan negeri.

“Langkah ini penting bagi memastikan Sabah bersedia dari segi prasarana, pengurusan serta pembangunan atlet,” katanya.

PENGHARGAAN:Nizam (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada wakil pasukan yang bertanding pada Kejohanan Bola Keranjang Remaja Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Remaja Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-55 pada Ahad di sini.

Dalam pada itu, Nizam berkata usaha menaik taraf kompleks sukan di seluruh negeri sedang giat dilaksanakan bagi memastikan semua kemudahan berada pada tahap terbaik.

“Saya telah mengadakan lawatan ke semua kompleks sukan di Sabah bagi menilai keadaan fasiliti sedia ada.

“Kita mahu memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik sebelum bersedia menjadi tuan rumah SUKMA atau kejohanan berskala besar,” katanya.

Mengulas penganjuran kejohanan bola keranjang itu, beliau berkata ia bukan sahaja menggalakkan penyertaan belia, malah menjadi platform mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau turut mencadangkan agar persatuan sukan di negeri ini memperkukuh struktur latihan serta penganjuran liga secara lebih sistematik bagi melahirkan atlet berkualiti.

“Kita melihat negeri seperti Selangor dan Johor mempunyai pendedahan lebih luas termasuk liga negeri yang aktif.

“Sabah juga perlu bergerak ke arah itu bagi melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, KBSK akan terus menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi termasuk bola keranjang bagi memastikan lebih ramai atlet berpotensi tinggi dapat dilahirkan di Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles