KOTA KINABALU: Sistem kesihatan di Sabah berdepan cabaran serius apabila kekurangan tenaga kerja, khususnya doktor, semakin ketara seiring peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), hanya 2,884 doktor kini berkhidmat di Sabah berbanding keperluan sebenar yang dianggarkan mencecah sekitar 9,000 orang.
Menurutnya, jurang besar itu mencerminkan isu sistemik yang perlu ditangani segera, termasuk penurunan minat terhadap profesion perubatan serta cabaran mengekalkan doktor untuk terus berkhidmat di negeri ini.
“Keadaan ini memberi tekanan kepada sistem kesihatan apabila doktor sedia ada terpaksa menanggung beban kerja yang tinggi, termasuk berkhidmat di kawasan pedalaman dengan kekangan kemudahan.
“Walaupun berdepan cabaran, ramai doktor masih menunjukkan komitmen tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Hak dan Tanggungjawab Doktor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Julita turut memaklumkan trend nasional yang membimbangkan apabila hanya kira-kira 10 peratus daripada 5,000 penempatan doktor baharu diisi pada awal tahun ini, seperti didedahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ini menunjukkan penyusutan sumber bakal doktor yang akan terus memberi tekanan kepada sistem kesihatan sekiranya tidak ditangani segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui masih terdapat jurang ketara dari segi infrastruktur kesihatan di Sabah apabila sebahagian klinik dan hospital memerlukan naik taraf segera.
“Sabah masih berdepan kekangan dari segi kemudahan asas kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengemukakan isu berkenaan kepada KKM termasuk permohonan peningkatan peruntukan serta perkara berkaitan di bawah perbincangan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menegaskan keperluan menambah baik insentif kepada doktor, khususnya yang berkhidmat di kawasan luar bandar, termasuk semakan semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta elaun kos sara hidup.
“Langkah ini penting bagi memastikan motivasi serta pengekalan doktor di Sabah dan Sarawak terus terjamin,” katanya.
Turut hadir Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo; Pengerusi MMA Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang; serta bekas Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi.
