KOTA KINABALU:Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, melantik tokoh perbankan Asia yang disegani, Tan Sri Andrew Sheng, sebagai Penasihat Khas beliau.
Mengumumkan pelantikan itu, Hajiji berkata pengalaman luas serta kelayakan profesional Sheng dalam bidang ekonomi dan kewangan akan menjadi aset penting kepada negeri Sabah.
“Kami menantikan sumbangan beliau, khususnya dalam memperkukuh sektor ekonomi dan pelaburan negeri,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini, hari ini.
Sheng, warganegara Malaysia yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an dan kini berpangkalan di Hong Kong, mempunyai rekod cemerlang dalam bidang perbankan, pelaburan dan dasar kewangan di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan di Bank Dunia serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.
Kini, beliau merupakan Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) serta ahli majlis penasihat antarabangsa bagi beberapa institusi kewangan utama termasuk Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya di peringkat global, Sheng turut disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh Majalah TIME pada April 2013.
