KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Bilangan Pertama bagi tahun 2026 yang berlangsung di Menara Kinabalu, pada Khamis.
Mesyuarat berkenaan diadakan bagi meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan negeri, selain memperkemas penyelarasan serta kerjasama strategik antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan.
Dalam mesyuarat itu, pelbagai perkara berkaitan kesiapsiagaan, kawalan keselamatan dan langkah mempertahankan kedaulatan negeri serta negara daripada sebarang ancaman turut dibincangkan.
Kerajaan negeri menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap keselamatan Sabah sentiasa berada pada tahap optimum, selaras dengan kepentingan menjaga kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pengarah Imigresen Negeri, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof; Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor B. Sanjos; Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali; Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan; serta Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Sabah, Datuk Awang Yahya.
–TAMAT
