Komitmen perkukuh integriti: IBR disaksikan Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Pembantu-Pembantu Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Politik Negeri Sabah hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen memperkukuh integriti dan tadbir urus beramanah dalam pentadbiran negeri.

Majlis lafaz ikrar itu disaksikan Ketua Menteri, Hajiji Noor, dan berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu, pada Khamis.

Majlis dimulakan dengan lafaz IBR oleh semua Pembantu Menteri dan Setiausaha Politik sebagai manifestasi iltizam untuk menolak sebarang bentuk rasuah serta memperkasakan budaya integriti dalam pelaksanaan tugas rasmi.

Selepas sesi menandatangani dokumen IBR, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Joniston Bangkuai, serta Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, masing-masing mewakili kumpulan berkenaan menyerahkan dokumen ikrar kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah.

Dalam majlis sama, Mohd Fuad turut menyampaikan taklimat khas yang menekankan kepentingan pencegahan rasuah, pemantapan sistem kawalan dalaman serta pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Dayang Noorashikhin Zulkefli serta Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran yang telus, berakauntabiliti dan berintegriti demi kepentingan rakyat Sabah.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles