KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan “Anugerah Akhir” bernilai AS$14.9 bilion oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai penuntut Sulu sebagai kemenangan muktamad dan bukti jelas bahawa kedaulatan Sabah tidak boleh dipertikaikan.
Menurut beliau, keputusan yang diumumkan pada 9 Disember lalu mengesahkan pendirian Sabah dan Kerajaan Malaysia bahawa tuntutan berkenaan tidak berasas dari sudut undang-undang dan sejarah.
“Saya sudah menyatakan sebelum ini, Sabah akan mempertahankan kedaulatannya dalam Persekutuan Malaysia dan kita tidak akan sesekali melayan tuntutan sedemikian.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris sekali lagi membuktikan pendirian kita selama ini, bahawa tiada asas perundangan yang mengikat Malaysia terhadap tuntutan tersebut,” katanya sebagai mengulas kenyataan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang mewakili Kerajaan Malaysia, hari ini.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa individu yang bertindak sebagai penimbang tara, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan “Anugerah Akhir” tersebut, selain mendapati tiada perjanjian timbang tara yang sah yang boleh mengikat Malaysia dalam kes berkenaan.
Ketua Menteri menegaskan bahawa Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan sebarang percubaan untuk menghidupkan semula tuntutan tersebut pada masa hadapan dapat ditolak secara tuntas.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah dan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Hajiji menambah bahawa keputusan itu memberi kelegaan kepada rakyat Sabah, selain mengukuhkan pendirian bahawa wilayah Sabah adalah sebahagian sah dan tidak terpisahkan daripada Malaysia berdasarkan fakta sejarah dan undang-undang.
— TAMAT
