Tidak semua jalan di bawah negeri, kefahaman awam perlu diperbetulkan : Masidi

KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan bahawa isu jalan raya, khususnya di luar bandar, perlu dilihat secara menyeluruh dan berdasarkan pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata walaupun jalan raya kekal sebagai antara isu utama yang membangkitkan emosi rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini, tidak semua jalan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

“Laluan utama seperti Kota Kinabalu–Ranau dan Keningau–Sandakan adalah jalan Persekutuan dan berada sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap di sini.

Masidi menjelaskan jalan negeri dan jalan majlis daerah memang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun kekangan kewangan ketika ini menyebabkan negeri hanya mampu menampung sekitar 70 peratus keperluan penyelenggaraan.

“Sabah adalah penyumbang hasil cukai yang besar kepada Persekutuan dan sewajarnya menerima peruntukan infrastruktur yang setimpal dengan sumbangan tersebut,” katanya.

Perancangan Jalan Kampung Dalam Bajet Baharu

Beliau berkata Kementerian Kewangan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menyediakan anggaran kos bagi kerja penurapan jalan kampung, dengan perancangan untuk dimasukkan ke dalam Bajet Pembangunan negeri tahun hadapan selepas perincian teknikal dimuktamadkan.

Dalam masa sama, Masidi mengingatkan kesalahfahaman awam juga sering berlaku terhadap isu bekalan air dan elektrik.

“Ramai tidak sedar Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dimiliki Kerajaan Persekutuan. Kesalahfahaman seperti ini menyebabkan kritikan tidak adil ditujukan kepada pemimpin dan kerajaan negeri,” katanya.

Pendidikan Isu Teras, Bukan Sentimen Politik

Masidi turut menyentuh isu pendidikan yang menurutnya menjadi asas emosi perjuangan beliau, berdasarkan pengalaman hidup sendiri.

Beliau berkongsi pengalaman zaman kecil berjalan kaki berhari-hari dari Ranau ke Tamparuli untuk bersekolah, yang mengukuhkan iltizamnya memastikan anak-anak Sabah tidak terhalang mendapatkan pendidikan hanya kerana kekangan ekonomi atau ketiadaan pengaruh politik.

“Peruntukan biasiswa negeri telah meningkat daripada RM62 juta kepada RM121 juta tahun ini.

“Menjelang 2027, semua institusi milik negeri di bawah Yayasan Sabah akan menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah,” katanya.

Kestabilan Politik Pacu Keupayaan Kewangan Sabah

Mempertahankan rekod pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi berkata rizab kewangan negeri meningkat daripada RM2.9 bilion pada 2020 kepada RM8.6 bilion ketika ini – hampir tiga kali ganda.

Menurutnya, kedudukan kewangan kukuh itu membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk:

  • Bantuan tunai bulanan RM300 kepada pendaftar eKasih,
  • Skim insurans kemalangan percuma kepada rakyat Sabah berumur 30 hari ke atas dengan pampasan sehingga RM11,000.

Mengulas tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri, Masidi mengesahkan rundingan rasmi dengan Kerajaan Persekutuan telah bermula.

“Apabila dana ini berjaya dikembalikan, sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam dana amanah untuk menjana pulangan jangka panjang,” katanya.

Antara dua inisiatif utama yang dirancang hasil dana itu ialah:

  • Elaun bulanan untuk rakyat Sabah berumur 60 tahun ke atas, dan
  • Pembiayaan deposit rumah pertama bagi mereka yang layak mendapat pinjaman bank tetapi tidak mampu menyediakan bayaran pendahuluan.

Isu Legasi dan Keperluan Kestabilan

Masidi turut menjelaskan sebahagian masalah semasa Sabah, termasuk bekalan air, berpunca daripada keputusan pentadbiran terdahulu yang menamatkan kontrak konsesi loji rawatan air sehingga kerajaan kalah dalam saman dan terpaksa membayar kira-kira RM315 juta pampasan.

Selain itu, lebih RM1 bilion dibelanjakan tahun ini sahaja bagi menstabilkan bekalan air dengan sasaran menyelesaikan isu utama di Pantai Barat menjelang tahun hadapan.

Mengulas kestabilan politik, Masidi berkata Sabah tidak boleh dibandingkan dengan Sarawak yang hanya mencatat enam pertukaran Ketua Menteri, berbanding 16 di Sabah.

“Pergolakan politik berdekad-dekad inilah yang mengekang pembangunan.

“GRS membuktikan bahawa apabila politik stabil, hasil negeri meningkat, simpanan bertambah dan pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles