Kajian Ilham Centre: GRS Di Kedudukan Terbaik Bentuk Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mempunyai peluang terbuka untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berlangsung Sabtu ini, berdasarkan dapatan kajian akhir pola pengundian oleh firma penyelidikan politik, Ilham Centre.

Menurut laporan kajian itu, GRS masih mengekalkan sokongan mencukupi untuk mengetuai rundingan bersama parti-parti tempatan serta calon Bebas bagi melepasi garis majoriti mudah dan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Ilham Centre menjelaskan bahawa antara faktor utama yang memberi kelebihan kepada GRS ialah statusnya sebagai penyandang kerajaan negeri selain imej sederhana dan tenang Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang dilihat boleh diterima merentasi kepimpinan parti-parti lain.

“GRS juga mengekalkan sokongan kukuh di kawasan kubu kuat mereka khususnya di Pantai Barat, selain kempen yang membawa naratif kestabilan dan pendekatan sederhana berjaya menarik perhatian sebahagian besar pengundi,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan disediakan oleh pasukan penyelidikan Ilham Centre yang diketuai Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar, bersama Ketua Penyelidikan, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal dan Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim.

Menurut dapatan kajian, GRS diramal mampu memenangi kira-kira 26 kerusi daripada 55 kerusi DUN yang ditandingi, sekali gus berpotensi muncul sebagai gabungan yang memperoleh jumlah kerusi terbesar berbanding parti-parti lain.

Keadaan itu dijangka membuka ruang kepada GRS untuk mengadakan rundingan pasca pilihan raya dengan parti lain atau calon Bebas bagi mengukuhkan majoriti pembentukan kerajaan.

Ilham Centre turut menyatakan bahawa walaupun di peringkat keseluruhan faktor calon lebih dominan berbanding kekuatan parti, namun di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), jenama parti masih memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan.

“Kekuatan sebenar GRS terletak pada kelebihan penyandang dan imej Hajiji yang ‘steady’ serta ‘reliable’. Selain itu, GRS berjaya memanfaatkan sumber parti untuk menggerakkan jentera kempen secara lebih tersusun dan sekata di semua DUN yang ditandingi.

“Kempen GRS bersifat defensif tetapi teratur, dengan mesej konsisten menekankan kesinambungan pembangunan dan kestabilan pentadbiran,” jelas laporan itu.

Menurut Ilham Centre, populariti Hajiji menjadi faktor signifikan yang membantu melonjakkan peluang kemenangan GRS, di samping kelebihan sebagai kerajaan penyandang untuk mempertahankan kerusi sedia ada.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kempen bercorak defensif lazimnya lebih berkesan dalam situasi pilihan raya yang melibatkan pertandingan pelbagai penjuru.

Dalam aspek parti lawan, Ilham Centre berpandangan Parti Warisan cuba membina momentum pada awal kempen namun gagal mencetuskan gelombang besar secara rentas wilayah.

“Warisan masih menunjukkan kekuatan di Pantai Timur serta beberapa kawasan bandar dan wilayah tertentu, namun keputusan untuk bertanding secara solo di 73 kerusi memberi tekanan besar kepada jentera dan sumber parti,” katanya.

Kajian lapangan Ilham Centre dijalankan dari 15 hingga 27 November 2025, melibatkan 1,500 responden merangkumi semua segmen pengundi di enam wilayah utama Sabah, dengan margin ralat kajian sekitar 2.5 peratus.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles