Pemecatan Ketua Bahagian cetus penghijrahan ahli STAR Bandau kepada GRS

KOTA MARUDU: Seramai 1,443 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Bandau dilaporkan meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan pemecatan ketua bahagian mereka, Ardino Diris.

Perkembangan tersebut berlaku selepas pengumuman pemecatan Ardino dibuat pada satu ceramah perdana yang dihadiri Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, di sini, semalam.

Ardino berkata, tindakan pucuk pimpinan parti menamatkan jawatannya bukan sesuatu yang mengejutkan dan beliau telah menjangkakan keputusan itu lebih awal.

“Sebaik dimaklumkan mengenai pemecatan tersebut, saya terus menghubungi semua 51 Ketua Cawangan melalui Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

“Hasil perbincangan itu, seramai 1,443 ahli STAR di N.6 Bandau menyatakan pendirian untuk meninggalkan parti dan kekal menyokong GRS,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ardino, sokongan akar umbi itu mencerminkan keutamaan ahli terhadap kestabilan politik dan masa depan pembangunan Sabah, berbanding konflik dalaman parti.

Beliau turut berpandangan pengumuman pemecatannya dibuat pada waktu yang memberi kelebihan strategik kepada GRS dalam persaingan di DUN Bandau.

“Saya yakin sokongan terhadap GRS akan terus kukuh kerana banyak hak Sabah yang diperjuangkan selama ini kini mula dipulangkan, termasuk isu minyak dan gas serta tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan.

“Ini merupakan perjuangan yang dibawa oleh Presiden STAR sejak sekian lama dan kini direalisasikan di bawah kerajaan negeri sedia ada,” katanya.

Ardino turut memaklumkan dengan gerak kerja tersusun bersama bekas Ahli Jawatankuasa Bahagian, jumlah bekas ahli STAR yang menyokong GRS berpotensi mencecah sehingga 2,000 pengundi menjelang hari pengundian.

Beliau yakin sokongan yang disusun mengikut PDM akan memberi kelebihan kepada calon GRS di DUN Bandau.

“Kami akan terus bekerjasama dengan jentera GRS bagi memastikan DUN Bandau kekal bersama kerajaan negeri,” katanya.

Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17, GRS mempertaruhkan Datuk Redonah Bahanda sebagai calon bagi DUN Bandau.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles