KUDAT: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengingatkan rakyat agar tidak memilih parti yang telah gagal mentadbir negeri ini, sebaliknya memastikan GRS terus diberikan mandat untuk menerajui kerajaan negeri.
Beliau berkata, pencapaian GRS sepanjang lima tahun mentadbir jelas menunjukkan kemampuan kerajaan itu membawa pembangunan mampan, meningkatkan hasil negeri dan menambah rizab kewangan Sabah ke tahap yang membanggakan.
“GRS bukan sekadar bercakap atau menjanjikan retorik kosong seperti pembangkang. Kita tunjukkan rekod kerja — membangunkan ekonomi, membawa pelaburan dan merancakkan pembangunan infrastruktur,” katanya pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS bagi DUN Banggi dan Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, di sini hari ini.
Turut hadir, calon GRS DUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin dan calon DUN Tanjong Kapor, Datuk Chong Chen Bin.
Menurut Hajiji, rakyat di Banggi dan Tanjong Kapor perlu memilih pemimpin yang mempunyai visi pembangunan yang jelas bagi memastikan kemajuan daerah itu dapat diteruskan.
“Saya tertarik dengan kedua-dua calon kerana mereka mempunyai perancangan tersusun, termasuk aspek pendidikan dan infrastruktur. Inilah pemimpin yang kita perlukan — bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu membawa hasil,” katanya.
Hajiji menegaskan, parti pembangkang tidak seharusnya diberi peluang semula kerana rekod pentadbiran mereka terdahulu tidak menunjukkan sebarang penyelesaian terhadap isu-isu besar rakyat.
“Mereka pernah jadi Ketua Menteri, pernah jadi Menteri Persekutuan, termasuk Menteri Kerja Raya negeri. Tetapi masalah air, elektrik dan jalan raya luar bandar tetap tidak selesai,” katanya.
Hajiji berkata, GRS perlu diberi mandat baharu bagi membolehkan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang dirancang sebagai kesinambungan pembangunan lima tahun pertama.
“Kita sudah membuktikan kejayaan membawa pelaburan dan membangunkan ekonomi. Di Kudat, kita wujudkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru, sesuatu yang tidak pernah dirancang sebelum ini.
“Jika projek ini berjaya dilaksanakan, rakyat Kudat akan menikmati peluang pekerjaan baharu dan rangsangan ekonomi setempat,” katanya.
Hajiji sekali lagi mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan pembangkang yang mendakwa kerajaan GRS gagal.
“Realitinya, mereka yang gagal ketika diberi peluang. Kini mereka cuba menutup kelemahan sendiri dengan menyerang kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat memberi sokongan padu kepada calon GRS bagi memastikan pentadbiran yang stabil dan pembangunan yang konsisten dapat diteruskan.
“Beri peluang lima tahun lagi kepada GRS. Mandat rakyat akan memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya.
Selepas program di Kudat, Hajiji turut menyertai Perhimpunan Mega Jelajah Kempen PRU17 Sabah DUN Matunggong dan Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Bandau, bagi meneruskan siri kempen menjelang hari pengundian.
— TAMAT
