KOTA BELUD: Pembeli rumah pertama di Sabah bakal menerima bantuan deposit pembelian rumah manakala rakyat berumur 60 tahun ke atas akan menikmati bantuan bulanan sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat semula pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata skim bantuan deposit itu antara inisiatif baharu kerajaan pimpinannya yang akan dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat, terutama golongan muda yang berhasrat memiliki rumah sendiri.
“Apabila membeli rumah berharga bawah RM500,000, pembeli selalunya diminta membayar deposit antara lima hingga 10 peratus. Jika GRS kembali memerintah, kita akan membantu membayar deposit tersebut untuk pembeli rumah pertama yang layak,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga GRS bagi DUN Tempasuk dan Usukan di kediaman Datuk Japlin Akim, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, GRS turut merancang memperkenalkan bantuan bulanan kepada rakyat Sabah berumur 60 tahun ke atas, sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial negeri.
Menurut Hajiji, inisiatif itu berpotensi direalisasikan berikutan rundingan berhubung pengembalian hasil 40 peratus Sabah yang kini memasuki fasa baharu dan dijangka meningkatkan pendapatan negeri.
“Saya tidak mahu cakap terlalu banyak kerana nanti pembangkang kata ini semua janji politik. Namun hakikatnya, apa yang kita rancang ini adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan mereka menikmati hasil kemerdekaan serta pembentukan Malaysia,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan rakyat agar tidak termakan dakyah pembangkang yang kononnya mahu membawa perubahan melalui slogan-slogan seperti ‘Selamatkan Sabah’, sedangkan rekod pentadbiran mereka terdahulu tidak menunjukkan hasil.
“Mereka sudah diberi peluang menjadi kerajaan, menjadi Ketua Menteri, malah bertahun-tahun memegang jawatan penting di peringkat Persekutuan, tetapi masalah rakyat tidak selesai. Sekarang mereka mengatakan kita gagal, sedangkan merekalah yang tidak melakukan kerja ketika berkuasa.”
Beliau turut menyindir pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan tetapi gagal mengurus kawasan sendiri.
“Ada seorang itu Menteri Kerja Raya, tapi jalan di kawasan sendiri pun tidak dibuat. Di Semporna pun sampah bersepah, tapi pandai bercakap mahu majukan Sabah,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyatakan keyakinan bahawa calon gabungan itu di DUN Tempasuk dan Usukan mampu mencatat kemenangan pada PRU Sabah ke-17 pada 29 November ini.
“Kawasan ini perlu diwakili oleh GRS supaya rakyat mendapat perhatian lebih baik berbanding pemimpin lawan yang lebih banyak berpolitik. Saya berharap ada perubahan besar dari segi pembangunan di Kota Belud, khususnya di Tempasuk dan Usukan,” katanya.
— TAMAT
