KOTA KINABALU:Seluruh jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menanam mentaliti menang sebagai asas perjuangan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17, kata aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, selepas proses penamaan calon selesai dengan semua calon GRS melepasi tapisan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), fokus kini beralih kepada pemantapan jentera serta kesiapsiagaan di semua peringkat.
“PRU kali ini bukan hanya tentang memenangi kerusi, tetapi merupakan referendum penting yang menzahirkan pendirian rakyat Sabah terhadap masa depan negeri. Seperti yang sering ditekankan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor — ini peluang besar yang tidak boleh dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah turut menasihatkan rakyat agar tidak terjerumus semula dalam politik bersifat sentrik, kedaerahan atau perkauman yang sebelum ini menyebabkan Sabah dilabel ‘deposit tetap’ oleh pihak luar.
“Jika rakyat Mahu dilihat sebagai berwibawa, bermaruah dan berpandangan jauh, pilihan terbaik ialah mengekalkan GRS sebagai teraju pemerintahan negeri,” katanya.
Menurut beliau, kemenangan besar GRS akan memperkukuh penghormatan terhadap Sabah di peringkat nasional, sekali gus membuktikan bahawa rakyat negeri ini tegas mempertahankan acuan politik tempatan.
“Hakikatnya, apabila rakyat memilih GRS, penilaian non-Sabahan terhadap kita meningkat — diterjemahkan dalam bentuk penghormatan dan keyakinan. Itulah mentaliti yang mesti ada pada setiap Sabahan: maruah dan jatidiri,” katanya.
Aksyah menambah bahawa gagasan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dirangka kerajaan negeri sudah siap sedia untuk digerakkan demi manfaat seluruh rakyat.
Beliau menegaskan, mentaliti menang hanya dapat dibentuk melalui barisan jentera yang kukuh, tersusun dan mengutamakan misi parti.
“Setiap calon dan jentera mesti bergerak seperti seorang pemenang. Pastikan setiap kawasan menyumbang kepada kemenangan GRS,” katanya sambil menyeru semua pihak meneruskan kempen dengan disiplin tinggi dan semangat perjuangan.
“Selamat berkempen dan berjuang,” katanya.
— TAMAT
