GRS lancar manifesto “Rumah Kita, Kita Jaga” untuk PRU Sabah Ke-17

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah Ke-17 berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan, menandakan komitmen gabungan itu untuk memperkukuh agenda pembangunan negeri.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata gagasan tersebut dibina atas empat rukun utama — Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya, dan Sabah Bersatu — yang diterjemahkan melalui 16 strategi pembangunan menyeluruh.

Strategi berkenaan merangkumi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam sekitar, kebajikan rakyat serta tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“GRS bertekad menyempurnakan semua komitmen dalam manifesto ini selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi tonggak pentadbiran negeri. Manifesto ini bersifat holistik dan inklusif demi kemajuan serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya pada majlis pelancaran manifesto di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Hajiji, yang juga Ketua Menteri, menegaskan bahawa GRS bukan sekadar menawarkan kesinambungan, tetapi turut membawa pembaharuan melalui rekod pentadbiran yang stabil sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, gabungan itu berjaya meletakkan asas kukuh untuk Sabah mencapai pertumbuhan mampan merentasi pelbagai sektor strategik.

“Perjuangan GRS adalah dari rakyat, untuk rakyat, menuju Sabah yang makmur. Kita tidak mengabaikan tanggungjawab menjaga kedaulatan undang-undang negara.

“Dengan manifesto komprehensif yang berlandaskan iltizam dan komitmen, saya yakin GRS akan mendapat sokongan rakyat untuk menguasai 55 kerusi DUN yang dipertandingkan,” katanya.

Hajiji berkata GRS menampilkan barisan calon yang seimbang merangkumi pengalaman dan kepimpinan generasi baharu, dengan 33 peratus daripada 55 calonnya adalah muka baharu.

Pada PRN Sabah ke-17, GRS bertanding di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai hari mengundi, 25 November bagi pengundian awal dan 15 November sebagai hari penamaan calon.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles