TAWAU:Tiga penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan kini menikmati kehidupan lebih selesa selepas menerima rumah baharu di bawah Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut Penyandang ADUN Kukusan, Datuk Rina Hj. Jainal, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin, khususnya golongan yang terjejas dan berpendapatan rendah.
“Alhamdulillah, baru-baru ini tiga penerima di DUN Kukusan menerima manfaat melalui Program Rumah SMJ iaitu Amsyah bin Mohd Said, Hassan Basri bin Ali Dullah, dan Nur Farah Hanim binti Hassan,” katanya.
Beliau berkata dua daripada penerima tersebut — Amsyah dan Hassan Basri — merupakan mangsa kebakaran yang sebelum ini kehilangan tempat tinggal, manakala Nur Farah Hanim menerima bantuan bagi membina rumah baharu yang lebih selesa untuk keluarganya.


“Kini, dengan siapnya kediaman baharu ini, mereka dapat memulakan semula kehidupan dalam suasana yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Rina berkata, inisiatif Rumah SMJ mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat luar bandar serta bukti bahawa program di bawah Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi impak terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya bagi penduduk di Kukusan yang sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi pelaksana di peringkat daerah, yang memastikan setiap rumah dapat disiapkan mengikut masa dan spesifikasi ditetapkan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi perlindungan fizikal, tetapi juga membawa sinar baharu kepada penerima dan keluarga mereka,” katanya.
Rina menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat Kukusan melalui kerjasama erat dengan agensi kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat pembangunan.
— TAMAT
