TULID: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng, terus melaksanakan tanggungjawabnya membantu rakyat melalui siri sumbangan kebajikan yang disalurkan kepada penduduk dan komuniti tempatan pelbagai latar belakang.
Dalam kenyataannya di Facebook rasmi, Flovia berkata usaha ini selaras dengan komitmennya untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di DUN Tulid mendapat perhatian sewajarnya tanpa mengira agama, umur atau latar sosial.
“Saya percaya setiap bentuk bantuan, walau kecil, mampu memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat jika disampaikan dengan ikhlas dan penuh kasih,” katanya.
Antara penerima bantuan kali ini ialah Puan Siti Asah, yang menerima sumbangan bagi menampung kos pembuatan cermin mata anaknya. Sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga serta memberi keselesaan kepada anak beliau dalam pembelajaran dan kehidupan harian.

Selain itu, Saudara Mc Adam Marcellus, wakil belia Komuniti Umat Katolik St. Joseph Minawo, turut menerima sumbangan bagi menyokong inisiatif belia membeli peralatan untuk mengubah suai bilik stor menjadi Bilik Gerakan Komiti Belia Katolik (KBK) di gereja berkenaan.
“Saya berharap sumbangan ini menjadi pemangkin kepada semangat belia untuk terus aktif dalam program rohani dan kemasyarakatan,” ujar Flovia, yang juga dikenali sebagai pemimpin mesra rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Encik Minjun, wakil Gereja St. John Kuala Kiporing, bagi membantu kerja-kerja merata tanah di kawasan gereja tersebut. Bantuan ini bertujuan memastikan kawasan ibadat itu lebih teratur dan selesa digunakan oleh komuniti setempat.
“Kita mahu memastikan semua komuniti di Tulid, tanpa mengira latar belakang, dapat melaksanakan aktiviti mereka dalam keadaan lebih baik dan selamat,” katanya.
Flovia menegaskan bahawa segala usaha kebajikan yang dilakukan bukan bersifat bermusim, sebaliknya merupakan kesinambungan khidmat berterusan demi kebajikan rakyat Tulid.
“Saya akan terus bersama rakyat Tulid — mendengar, memahami dan membantu mengikut keperluan mereka. Inilah semangat perjuangan sebenar yang saya pegang sejak mula berkhidmat,” katanya.
— TAMAT
