Wanita PGRS tegas pertahan kedaulatan Sabah, kecam kenyataan Senator Filipina

KOTA KINABALU:Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dikemukakan semula.

Ketua Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda, berkata kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta mencerminkan sikap tidak menghormati prinsip dan ketetapan undang-undang antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa Sabah merupakan wilayah berdaulat yang terbentuk berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kedudukannya sebagai sebahagian daripada Malaysia tidak boleh dipersoalkan.

Senator Robin Padilla

“Rakyat Sabah telah secara sah dan demokratik memilih untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

“Sehubungan itu, sebarang kenyataan yang cuba mempertikaikan kedudukan ini adalah tidak wajar, tidak relevan dan perlu ditolak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan terkini.

Menurut beliau, rekod sejarah dan diplomatik menunjukkan Sabah telah lama mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai wilayah berdaulat dalam Malaysia.

Katanya, sebarang usaha untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi, adalah tidak berasas serta bermotifkan kepentingan politik tertentu.

Beliau turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai dangkal dan tidak beretika, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Sebarang cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan gas jelas menunjukkan motif untuk mengeksploitasi kekayaan hasil bumi negeri ini.

“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak berasas, malah mencabar kedaulatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Redonah menegaskan bahawa Wanita PGRS menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kenyataan atau usaha yang cuba menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam mempertahankan hak serta kedaulatan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata Wanita PGRS akan terus menyokong usaha kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan untuk memastikan kedaulatan Sabah terus terpelihara.

“Sebarang percubaan untuk menuntut wilayah Sabah, sama ada melalui rundingan atau tekanan diplomatik, adalah tidak wajar dan berpotensi menggugat kedaulatan negara,” katanya. Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah, agar terus bersatu mempertahankan kedaulatan negeri serta menolak sebarang tuntutan daripada pihak luar yang boleh menjejaskan kestabilan negara.


Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles