UEC bukan isu di Sabah, diiktiraf sepenuhnya Kerajaan Negeri: James

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan lagi isu di negeri ini selepas ia diiktiraf secara rasmi, sekali gus membuka laluan lebih luas kepada pelajar UEC untuk menikmati pelbagai kemudahan pendidikan dan peluang pembangunan modal insan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata pengiktirafan itu membolehkan pemegang UEC memohon biasiswa negeri, melanjutkan pengajian di institusi pendidikan milik kerajaan negeri serta dipertimbangkan untuk jawatan dalam perkhidmatan awam negeri.

“Pelajar UEC kini mempunyai akses kepada biasiswa negeri, institusi pendidikan Sabah dan turut dipertimbangkan untuk perkhidmatan awam negeri,” katanya ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan pendekatan inklusif Sabah yang memberi keutamaan kepada kebolehan, kemahiran dan potensi pelajar tanpa mengira latar pendidikan, berbeza dengan perdebatan berterusan berkaitan UEC di Semenanjung.

Mengulas hala tuju kementerian di bawah Belanjawan Sabah 2026, James berkata Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) yang baharu ditubuhkan akan memberi fokus kepada pendidikan digital, pendidikan tinggi serta projek berteraskan belia.

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Bilik Darjah Berkuasa Kecerdasan Buatan (AI), dengan SMK Sanzac dipilih sebagai sekolah perintis bermula Julai 2025 melalui kerjasama strategik dengan Apple dan Sasbadi.

“Program ini bertujuan mengintegrasikan AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dan akan diperluaskan ke seluruh Sabah tertakluk kepada kesediaan guru, peralatan serta pengurusan sekolah,” katanya.

Dalam aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata kerajaan negeri merancang membangunkan kampus satelit dan hab latihan di seluruh Sabah selaras dengan keperluan industri dan potensi ekonomi setempat.

Beliau turut memaklumkan usaha memperluas kesalinghubungan digital di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk penggunaan sistem Starlink yang akan ditingkatkan kepada rangkaian gentian optik.

Selain itu, James berkata sebanyak 216 sekolah kurang berkemampuan telah diluluskan projek naik taraf, dengan 55 projek telah siap manakala selebihnya berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta dilengkapi kemahiran relevan untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles