Teknologi mesti cipta pekerjaan, tingkat produktiviti Sabah – Masidi

KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi di Sabah perlu menghasilkan impak yang boleh diukur menerusi peningkatan produktiviti, pembangunan bakat tempatan dan peluang pekerjaan, bukannya sekadar mengguna pakai teknologi tanpa matlamat yang jelas.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, transformasi digital perlu memberi nilai sebenar kepada organisasi dengan menyelesaikan cabaran operasi, meningkatkan kecekapan serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri.

“Kerjasama teknologi mesti menghasilkan peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan supaya dapat menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Masidi berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi mampu membantu syarikat beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos, memperkukuh rantaian bekalan serta membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan data.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan teknologi perlu dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti, tadbir urus, kualiti perkhidmatan dan daya tahan perniagaan.

“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dan syarikat tempatan mampu menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman terhadap keperluan serta persekitaran operasi di Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa agenda pendigitalan perlu disokong oleh aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan manusia bagi memastikan penggunaan teknologi dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Masidi berkata, latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional juga perlu diperkukuh supaya lebih ramai rakyat Sabah dapat menguasai bidang teknikal, pengurusan dan inovasi bernilai tinggi.

“Ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran dari luar. Sabah mesti terus membangunkan tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaiannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata kejayaan sesuatu kerjasama teknologi akhirnya akan diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, melahirkan lebih ramai bakat tempatan dan mewujudkan nilai berkekalan kepada ekonomi Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles