Sokongan padu rakyat penting demi merealisasikan agenda pembangunan negeri – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap rakyat terus memberikan sokongan padu serta menjadi rakan kongsi strategik dalam merealisasikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, aspirasi utamanya sebagai Ketua Menteri adalah untuk melakar laluan pembangunan yang mampan demi kesejahteraan Sabah dan rakyat.

“Justeru, sokongan berterusan adalah penting demi kesinambungan pembangunan rakyat dan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Dalam pada itu, beliau memuji Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) atas kejayaan menganjurkan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Katanya, USCCAKK telah secara konsisten menganjurkan acara berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjadikannya sambutan kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh masyarakat Cina, malah oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sabah.

Menurut beliau, penganjuran festival itu turut berperanan sebagai platform penting untuk memupuk toleransi dan sikap saling menerima dalam usaha membina masa depan bersama.

“Sebab itu, sambutan perayaan dan kebudayaan dalam kalangan masyarakat Sabah daripada pelbagai agama, etnik dan budaya merupakan identiti unik negeri ini.

“Di Sabah, sambutan kebudayaan dan perayaan setiap kaum sudah menjadi amalan tahunan serta asas kepada pengukuhan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Mengulas mengenai Zodiak Cina, beliau berkata tahun 2026 yang dikenali sebagai Tahun Kuda Api dikaitkan dengan perubahan, inovasi dan keberanian, sekali gus menawarkan peluang besar kepada pembangunan negeri.

“Justeru, semangat dan tenaga Tahun Kuda ini perlu dimanfaatkan untuk bersama-sama membawa lebih banyak pembangunan ekonomi, sosial serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan terus maju ke hadapan dengan meneruskan agenda pembangunan, memulihkan ekonomi, melaksanakan perancangan serta mencari peluang terbaik untuk negeri dan rakyat,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles