SMJ 2.0 fokus ekonomi biru, lonjak ekonomi Sabah ke tahap baharu

KOTA KINABALU: Ekonomi Biru akan menjadi pemacu strategik baharu dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi mentransformasikan struktur ekonomi negeri ke arah pertumbuhan bernilai tambah tinggi, inklusif dan mampan.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, pendekatan itu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan maritim serta kekayaan biodiversiti Sabah yang merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman pada Majlis Perasmian TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.

“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi serta kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.

Beliau berkata, pelaksanaan Ekonomi Biru diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan pembiayaan strategik pada Majlis Perasmian TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.

Menurutnya, sektor berkenaan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga 2025, dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion.

Mengulas pencapaian pembangunan negeri, Hajiji berkata pelaksanaan SMJ 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025 berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan jemputan lain bergambar bersama peserta dan tetamu yang menghadiri Majlis Perasmian TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.

“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali, iaitu RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh dengan RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.

Beliau berkata, prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencecah RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus meletakkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.

Katanya, unjuran KDNK bagi 2025 juga dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil.

Menurut Hajiji, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu untuk rakyat.

“Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di negeri ini.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas kepada usahawan tempatan.

“Platform ini menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara menyeluruh,” katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di Sabah agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk meneroka sektor Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika diterokai secara strategik.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles