Sabah tuan rumah BIMP-EAGA Games 2026, perkasa belia melalui sukan

KOTA KINABALU: Penganjuran BIMP-EAGA Friendship Games 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan serantau serta memperkasa golongan belia melalui sukan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi ruang mengeratkan hubungan antara negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Menurut beliau, penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai membuktikan semangat kebersamaan serta perpaduan yang menjadi teras utama penganjuran temasya berkenaan.

“Temasya ini menghimpunkan atlet bawah 21 tahun yang bertanding dalam sembilan acara termasuk olahraga, renang, badminton, sepak takraw dan e-sukan, selaras dengan perkembangan minat belia masa kini.

“Sukan merupakan platform penting dalam membentuk sahsiah, memupuk disiplin serta melahirkan generasi muda yang berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh pembangunan belia dan sukan sebagai pemangkin kepada kemajuan sosial dan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, Nizam turut mengalu-alukan kehadiran peserta dari negara anggota untuk merasai kepelbagaian budaya serta keindahan Sabah, di samping menegaskan bahawa nilai kesukanan, disiplin dan saling menghormati kekal menjadi teras utama temasya berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap kementerian yang juga Pengerusi Penganjur, Mansur Asun berkata, penganjuran temasya tersebut menjadi medium penting dalam membentuk kepimpinan serta jati diri dalam kalangan belia.

Menurutnya, sukan berperanan sebagai penghubung yang merapatkan hubungan antara negara anggota, selain memperkukuh kerjasama serantau.

“Sabah berbangga menjadi tuan rumah dan pelbagai persiapan rapi telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran temasya ini.

“Kami berharap penganjuran ini bukan sahaja berjalan lancar, malah memberikan pengalaman bermakna kepada semua peserta,” katanya.

Pertandingan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu termasuk Kompleks Sukan Likas, Pusat Akuatik Likas serta fasiliti sukan lain.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles