Sabah perlu kerajaan stabil dan pentadbiran kukuh demi kesinambungan pembangunan: Yazid

KENINGAU: Semua pihak diseru agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan agenda pembangunan, pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan demi menjamin kestabilan politik dan kemajuan negeri.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan pentadbiran yang kukuh bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat diteruskan secara konsisten serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Menurut beliau, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah memperlihatkan komitmen yang jelas dalam memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama mahupun kawasan.

Yazid berkata, pendekatan inklusif yang diamalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut membuka ruang kerjasama dengan wakil rakyat daripada pelbagai parti politik serta calon bebas yang berkongsi aspirasi membangunkan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

“Semangat kerjasama ini diterjemahkan melalui pelantikan wakil rakyat dalam pelbagai jawatan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk dalam kabinet, agensi kerajaan dan institusi pembangunan masyarakat. Pendekatan ini mencerminkan keterbukaan kepimpinan negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemegang jawatan masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Mereka bukan sahaja menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat, malah menjadi saluran penting untuk membawa suara dan keperluan rakyat kepada pihak kerajaan.

“Justeru, profesionalisme, semangat kerjasama dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab perlu terus diperkasakan,” katanya.

Yazid berkata, kepimpinan Hajiji memperlihatkan pendekatan yang matang dan inklusif dengan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh perpaduan, mempercepatkan pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat, pemimpin masyarakat, penjawat awam dan semua pihak berkepentingan supaya terus berganding bahu menyokong usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda pembangunan Sabah. Beliau berkata, aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) hanya dapat direalisasikan menerusi komitmen serta sokongan padu semua pihak agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.



Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles