Sabah perkukuh ekonomi biru berteraskan pembangunan mampan

KOTA KINABALU:Pembangunan bandar pesisir pantai perlu dilaksanakan secara seimbang antara pertumbuhan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan usaha memperkukuh daya tahan terhadap kesan perubahan iklim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata bandar pesisir merupakan pusat penting perdagangan, pelancongan dan pelbagai aktiviti ekonomi, namun kedudukannya yang berhampiran laut turut mendedahkan kawasan berkenaan kepada risiko peningkatan paras laut, cuaca ekstrem serta pencemaran.

Menurutnya, cabaran berkenaan tidak terhad kepada sempadan sesebuah bandar atau negara kerana laut, ekosistem dan kegiatan ekonomi saling berkait — sekali gus menuntut pendekatan penyelesaian secara bersepadu.

“Kita tidak perlu memilih antara kemakmuran dan perlindungan alam sekitar.

“Menerusi perancangan yang bijak dan kerjasama erat, kita mampu membangunkan bandar yang lebih selamat, bersih dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Dialog Mayor Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIMD) 2026, di sini, Isnin. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, langkah penyesuaian terhadap perubahan iklim perlu diintegrasikan dalam pengurusan harian bandar, termasuk aspek sistem perparitan, sanitasi, kawalan banjir, perlindungan kawasan pesisir serta pemuliharaan hutan bakau dan sungai.

Menurutnya, pendekatan berasaskan alam semula jadi mampu membantu melindungi komuniti daripada risiko bencana, di samping memelihara ekosistem yang menjadi asas kepada pembangunan Ekonomi Biru.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan langkah berkenaan memerlukan sokongan pembiayaan dan kerjasama pelbagai pihak.

Sehubungan itu, bandar-bandar perlu mempunyai akses lebih luas kepada pembiayaan iklim, kerjasama awam-swasta serta sumber sokongan lain bagi melaksanakan projek infrastruktur hijau dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.

“Bandar-bandar juga perlu saling belajar antara satu sama lain. Tiada bandar yang mampu menangani cabaran ini secara bersendirian,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menyifatkan penganjuran KKIMD 2026 yang menghimpunkan peserta dari lapan negara dan 15 bandar — termasuk wakil Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat — sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan bandar mampan.

Beliau berkata, kepentingan kerjasama itu amat relevan kepada Sabah yang terletak dalam kawasan Segi Tiga Terumbu Karang, antara wilayah marin yang mempunyai kepelbagaian biologi terkaya di dunia.

Menurutnya, perairan Sabah bukan sahaja menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat pesisir, malah menyumbang kepada keterjaminan makanan dan pertumbuhan pelbagai industri maritim.

Justeru, usaha memelihara ekosistem marin perlu dilaksanakan seiring pembangunan ekonomi bagi memastikan sumber berkenaan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi dapat dilihat menerusi Taman Tun Mustapha, yang memberi tumpuan kepada perlindungan ekosistem marin di samping menyokong keperluan komuniti setempat.

“Prinsip sama turut menjadi panduan kepada agenda Ekonomi Biru Sabah yang bertujuan mewujudkan peluang ekonomi mampan dalam sektor perikanan, akuakultur, bioteknologi marin, perkhidmatan maritim, pelancongan pesisir pantai dan pulau, tenaga boleh baharu marin serta logistik.

“Matlamat kita adalah untuk membangunkan peluang ini secara bertanggungjawab supaya perairan Sabah terus menyokong ekonomi dan kesejahteraan komuniti kita,” katanya.

Hajiji berkata, agenda Ekonomi Biru turut sejajar dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif, pengukuhan sumber pendapatan rakyat serta peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sedang mempergiat pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034 yang menghubungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi.

Sehubungan itu, beliau berkata Sabah mengalu-alukan kerjasama antarabangsa yang lebih erat serta pelaburan jangka panjang dalam sektor Ekonomi Biru, infrastruktur hijau dan inovasi digital.

Menyentuh pembangunan bandar pintar, Hajiji turut memuji usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkukuh agenda berkenaan menerusi penggunaan teknologi moden dalam pengurusan bandar.

Beliau berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kembar digital, peralatan geospatial dan platform data bandar berpotensi meningkatkan keberkesanan sistem amaran awal banjir, perancangan guna tanah serta penyampaian perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan transformasi digital perlu dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.

Hajiji turut menyambut baik cadangan Pernyataan Bersama Kota Kinabalu sebagai asas memperkukuh komitmen kerjasama dalam bidang Ekonomi Biru, tadbir urus digital, daya tahan bandar dan hubungan antarabangsa.

Menurutnya, cadangan penubuhan Rangkaian KKIMD serta pelaksanaan kajian semula kemajuan secara tahunan mampu membantu memastikan komitmen yang dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan berterusan dan hasil yang nyata.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles