Sabah buktikan perpaduan adalah kekuatan negeri :Joniston

KOTA KINABALU: Sabah perlu terus mengekalkan budaya saling menghormati serta menjadi contoh toleransi agama dan kaum di Malaysia, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, kejadian keganasan yang berlaku di beberapa negara akibat kegagalan mengurus perbezaan kaum dan agama wajar menjadi pengajaran agar keharmonian sosial di Sabah terus dipelihara.

“Apabila sesebuah masyarakat gagal menguruskan perbezaan dengan penuh hormat, kesannya amat buruk. Sabah dan rakyatnya mesti memastikan ekstremisme agama dan kaum tidak berakar umbi di negeri ini,” katanya.

Joniston berkata demikian ketika merasmikan Karnival Krismas Inanam di Pekan Inanam, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Inanam, Pastor Bios Solingkin serta pemimpin dan penatua daripada pelbagai denominasi Kristian.

Joniston berkata, kepelbagaian kaum dan agama di Sabah sejak sekian lama menjadi kekuatan negeri ini, apabila rakyatnya terbiasa hidup bersama, bekerja bersama dan meraikan perayaan pelbagai agama dalam suasana harmoni.

Mengulas tema karnival, ‘Saved by Grace’, beliau berkata mesej tersebut mencerminkan nilai sejagat seperti kasih sayang, hormat dan ihsan yang merentasi perbezaan kepercayaan serta budaya.

“Di Sabah, toleransi adalah sebahagian daripada kehidupan seharian. Ia jelas dilihat melalui cara masyarakat berinteraksi dan meraikan perayaan masing-masing. Keharmonian ini menyumbang kepada kestabilan serta persekitaran aman yang menjadi aset penting negeri,” katanya.

Menurutnya, keharmonian sosial digabungkan dengan kepelbagaian budaya turut memperkukuh tarikan pelancongan Sabah kerana pelawat bukan sahaja tertarik dengan keindahan alam semula jadi, tetapi juga masyarakatnya yang inklusif dan mesra.

Karnival Krismas Inanam yang dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Inanam merupakan program tahunan sejak 2015.

–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles