KENINGAU: Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim di sini, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Pengerusinya, Datuk Flovia Ng, berkata penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar platform berbuka puasa bersama, sebaliknya menjadi ruang menyemai nilai kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, Ramadan membawa makna yang mendalam kerana mengingatkan masyarakat tentang kepentingan kesabaran, kesyukuran serta sifat saling membantu antara satu sama lain.
“Walaupun saya bukan beragama Islam, saya amat menghormati dan menghargai keindahan bulan Ramadan yang membawa mesej kesederhanaan, kesyukuran serta keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
“Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memperkukuhkan nilai kemanusiaan, empati serta semangat saling membantu dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Beliau berkata Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd berbesar hati dapat menganjurkan program tersebut sebagai tanda komitmen syarikat untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat, khususnya kepada anak-anak yatim.
Flovia turut berharap program seumpama itu dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yang diraikan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak penganjur, tetamu jemputan serta masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa nilai sesebuah masyarakat tidak hanya diukur melalui tahap kemajuan atau kekayaan, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana masyarakat mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan.
“Kepada anak-anak yang hadir pada petang ini, ketahuilah bahawa kalian tidak bersendirian. Ramai yang sentiasa mengambil berat dan mendoakan agar kalian membesar dengan penuh harapan, kekuatan serta kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Majlis tersebut turut diraikan bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan keluarga, komuniti dan negara. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YM Tengku Datin Adlina Marita Tengku Adlin, Datin Doris Joprit dan Datin Saimah @ Helen Ginsu.
