Pendidikan teras pembangunan: RM3 Juta untuk modal insan Tawau

TAWAU: Kerajaan negeri terus memperkukuh pelaburan dalam sektor pendidikan di daerah ini menerusi perasmian tiga kemudahan sekolah berimpak tinggi bernilai hampir RM3 juta, sekali gus meletakkan pembangunan modal insan sebagai keutamaan.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, inisiatif itu selaras dengan pendekatan “Tawau First” yang memberi penekanan kepada kebajikan pelajar serta usaha membangunkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Lo yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kemudahan fizikal seperti dewan, bilik darjah dan jejantas bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya sebahagian strategi jangka panjang untuk memastikan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak Tawau.

“Matlamat utama kita adalah melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa. Pendidikan adalah asas paling penting dan mulia dalam membina masa depan negeri,” katanya.

ALBUM: Lo bergambar bersama warga pendidik dan pelajar SMK Balung Tawau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dewan Terbuka Serbaguna SMK Balung, dua bilik darjah baharu di SMK Wakuba dan jejantas di hadapan SMK Kinabutan, di sini, semalam.

Menurutnya, dewan terbuka di SMK Balung yang dibina dengan kos RM1,236,558 dan berukuran 45 meter lebar serta 55 meter panjang disifatkan sebagai antara yang terbesar bagi sekolah di Sabah.

“Kemudahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, malah boleh digunakan sebagai pusat aktiviti kokurikulum dan program kemasyarakatan setempat. Ia menjadi platform penting untuk membentuk keyakinan, sahsiah dan kepimpinan pelajar,” katanya.

JEJANTAS: Lo ketika merasmikan jejantas baharu di hadapan SMK Kinabutan Tawau.

Selain itu, pembinaan dua bilik darjah baharu di SMK Wakuba melibatkan kos RM250,000 bagi meningkatkan keselesaan pembelajaran, manakala pembinaan jejantas bernilai RM1.5 juta di hadapan SMK Kinabutan bertujuan memastikan keselamatan pelajar ketika melintas jalan utama yang sibuk.

Secara keseluruhan, projek berkenaan membabitkan peruntukan sebanyak RM2,986,558 yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada Parlimen Tawau.

Mengulas lanjut, Lo berkata pembangunan pendidikan di Tawau dilaksanakan seiring aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang menekankan pembangunan menyeluruh merangkumi pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Untuk membangunkan Sabah, kita tidak boleh bergantung kepada peruntukan kewangan semata-mata. Modal insan yang berkualiti adalah kunci kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.



Beliau turut menegaskan keperluan mewujudkan ekosistem pendidikan yang relevan dengan keperluan industri masa hadapan agar belia tempatan tidak lagi perlu berhijrah ke luar negeri bagi mendapatkan pekerjaan.


DEWAN: Lo merasmikan Dewan Terbuka SMK Balung Tawau.

“Kita mahu satu perancangan lengkap – ada pendidikan, ada pekerjaan dan ada perindustrian. Tawau kaya dengan sumber laut, maka kita merancang pendidikan berasaskan AI Agriculture dan Aquaculture, selain usaha menubuhkan AI Halal Hub,” katanya.


Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang menarik pelaburan besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas serta perkilangan bagi menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi kepada rakyat Sabah.

“Kita bukan sekadar mahu menyediakan pekerjaan, tetapi pekerjaan yang berkualiti untuk anak Sabah. Inilah hasrat Ketua Menteri supaya rakyat dapat menikmati kemakmuran di negeri sendiri,” katanya.

Lo yakin pelaburan hampir RM3 juta dalam kemudahan pendidikan di Tawau itu akan memberi pulangan jangka panjang terhadap pembangunan sosial dan ekonomi daerah berkenaan.


–TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles