KOTA KINABALU: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada masyarakat Kristian susulan kontroversi kenyataannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Masiung berkata, perkara membabitkan sensitiviti agama perlu ditangani secara berhati-hati bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.
Menurutnya, seseorang pemimpin seharusnya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta implikasi daripada kenyataan yang dibuat di khalayak ramai.
“Kita menghormati UMNO kerana parti nasional itu adalah rakan dalam pembentukan kerajaan Sabah, tetapi perbuatan Noorazli mempersendakan paderi dan biarawati Katolik berunsur lucah dianggap satu penghinaan kepada penganut agama Kristian keseluruhannya.
“Saya berasa kesal kerana Noorazli sengaja merujuk Mazmur ayat 129 dalam Kitab Suci Katolik sebagai bahan jenaka, sedangkan kandungan itu tidak tepat mengikut pengamal kitab Injil,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.
Kontroversi itu tercetus selepas Noorazli menyampaikan jenaka membabitkan seorang paderi dan biarawati Katolik serta mengaitkan bahagian akhirnya dengan Mazmur 129, sedangkan rujukan berkenaan tidak terdapat dalam mazmur tersebut.
Masiung, yang juga ADUN Kuamut, berkata masyarakat Sabah sejak sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati meskipun berbeza agama dan kaum.
“Umat Kristian, Islam serta penganut agama lain di Sabah sudah sekian lama hidup dalam satu kekeluargaan dengan semangat hormat-menghormati sesama sendiri.
“Semangat toleransi ini tidak mengizinkan mana-mana ahli politik mencemarkan keharmonian dan kebebasan beragama di Sabah,” katanya.
Beliau turut berpandangan pihak berkuasa wajar meneliti perkara itu sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, dengan merujuk kepada Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Secara berasingan, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, turut meminta pihak berkuasa meneliti isu itu — termasuk kemungkinan peruntukan Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Masiung berkata, permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat penting bagi meredakan keadaan serta memastikan kontroversi itu tidak menjejaskan hubungan harmoni antara masyarakat.
Gesaan supaya permohonan maaf dibuat turut disuarakan beberapa pemimpin lain, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang menegaskan perkara berkaitan agama tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka.
Noorazli kemudiannya dilaporkan memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau tidak berniat menghina penganut Kristian, paderi atau biarawati.
