KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 2.6 juta ketibaan pelawat bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan momentum positif sektor pelancongan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata daripada jumlah itu, 1.1 juta atau 43 peratus merupakan pelawat antarabangsa, manakala 1.5 juta atau 57 peratus adalah pelawat domestik.
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka, di sini, Sabtu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama Sabah dengan 578,681 ketibaan direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Menurutnya, perkembangan positif turut disokong pasaran Singapura, Australia dan Eropah, selain Jepun yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan susulan semakan semula nasihat perjalanan.
Ketibaan pelawat dari Itali dan Sepanyol pada Ogos pula mencerminkan daya tarikan Sabah yang semakin kukuh dalam kalangan pasaran Eropah.
“Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk terus memperluas jangkauan ke pasaran antarabangsa, khususnya dengan sokongan rangkaian dan ketersambungan penerbangan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pasaran domestik yang mencatat peningkatan 2.1 peratus terus menjadi tonggak penting kepada industri pelancongan negeri.
Beliau berkata, dapatan awal Lembaga Pelancongan Sabah turut menunjukkan minat terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan kekal kukuh.
Bagaimanapun, Hajiji berkata beberapa cabaran masih perlu ditangani — khususnya berkaitan tambang dan ketersediaan penerbangan yang boleh mempengaruhi keputusan pelancong serta daya saing Sabah berbanding destinasi lain dalam negara dan rantau ini.
“Justeru, aspek ketersambungan udara perlu terus diberikan perhatian agar potensi besar sektor pelancongan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Hajiji turut mengulangi keyakinan bahawa Sabah mampu mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat tahun ini.
Menurutnya, jumlah ketibaan setakat Ogos sudah mencapai kira-kira 64 peratus daripada sasaran berkenaan, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk meningkatkan momentum bagi baki empat bulan tahun ini.
“Untuk mencapai sasaran tersebut, kita memerlukan tambahan sekitar 1.44 juta ketibaan bagi tempoh September hingga Disember, atau purata kira-kira 361,000 pelawat sebulan.
“Saya percaya sasaran ini mampu dicapai sekiranya momentum sedia ada terus diperkukuh menerusi promosi yang lebih berkesan, peningkatan ketersambungan penerbangan serta kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Mengenai Malam Gala dan Ritma Kinabalu atau Rhythms of Kinabalu 2026 yang memasuki edisi ke-12, Hajiji berkata program itu menyediakan platform kepada penggiat seni budaya serta kumpulan muzik tradisional dan kontemporari untuk mempersembahkan karya berkonsepkan muzik Borneo.
Beliau berkata, pelancongan kebudayaan merupakan antara tarikan penting yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Sabah.
“Kepelbagaian khazanah budaya, adat resam, seni dan makanan tradisional kita menawarkan pengalaman unik kepada para pengunjung.
“Pada masa sama, sektor ini membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat serta membantu memelihara khazanah budaya untuk generasi akan datang.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperkenalkan kekayaan budaya Sabah kepada dunia, di samping memastikan keasliannya terus terpelihara,” katanya.
