TAWAU:Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber tidak rasmi di media sosial tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata perkembangan teknologi komunikasi masa kini membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas, namun masyarakat perlu lebih bijak menilai kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi dengan pihak lain.
Menurut beliau, penyebaran maklumat yang tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain berpotensi mencetuskan perpecahan.
“Apabila kita menerima apa juga berita daripada media sosial, kita perlu berhati-hati dan tidak terus menyebarkannya.
“Kita perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat tersebut kerana berita yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan, kekacauan malah boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Ibrah Ramadan TawauFM di Kampung Inderasabah, di sini, semalam.
Nizam berkata masyarakat digalakkan merujuk kepada saluran media rasmi seperti Radio Televisyen Malaysia yang sentiasa menyalurkan maklumat sahih dan tepat kepada rakyat.
Menurutnya, walaupun RTM kini berdepan persaingan daripada pelbagai platform media baharu, peranan agensi penyiaran itu masih relevan sebagai sumber maklumat rasmi negara.
“RTM bukan sahaja mengekalkan peranan sebagai penyampai maklumat seperti dahulu, malah turut menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa bagi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat di seluruh negara.
“Saya yakin RTM terus kekal sebagai penyalur berita yang sahih dan tepat supaya rakyat tidak terkeliru dengan maklumat yang tidak benar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penganjuran Program Ibrah Ramadan TawauFM yang disifatkan mampu mendekatkan agensi penyiaran dengan masyarakat setempat.
Menurutnya, program tersebut berjaya menghimpunkan ramai penduduk sekitar Kampung Inderasabah dan kawasan berhampiran untuk mengikuti pengisian kerohanian serta aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, selain pengisian tazkirah Ramadan, program tersebut turut menyantuni kira-kira 80 golongan asnaf bersempena sambutan ulang tahun ke-80 RTM.
“Penduduk juga berpeluang melihat sendiri bagaimana RTM yang selama ini mereka dengar di radio dan televisyen turun padang bertemu masyarakat,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
“Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, selain meningkatkan ketakwaan, ia juga menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya. Turut hadir Pengurus Penyiaran Stesen Tawau, Muzrina Jubaira Sarfuddin dan Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Hendry Nurdin.
