KOTA KINABALU: Mesyuarat bagi membincangkan secara lanjut pemulangan 40 peratus hasil Sabah antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dijangka diadakan pada Jumaat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar bersabar, khususnya berhubung mekanisme dan formula pembayaran, selain isu-isu lain yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tidak perlulah kita terus mempersoalkan perkara ini di sini kerana satu lagi mesyuarat akan diadakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kalau saya tidak silap pada 19 Disember ini.
“Kita tunggulah hasil mesyuarat itu, termasuk mekanisme formula pembayaran. Bagi saya sebagai anak Sabah, pendirian kita jelas iaitu berpandukan Perlembagaan. Hal ini telah dibangkitkan berkali-kali dalam mesyuarat berkaitan MA63,” katanya, Bernama melaporkan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Rabu lalu.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Mengulas perkara itu, Hajiji berkata beliau yakin sebarang rundingan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan dibuat berasaskan keputusan mahkamah berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan membawa cadangan berkaitan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Sabah mengutip sendiri beberapa sumber hasil tertentu ke mesyuarat Kabinet Negeri akan datang.
Langkah tersebut, katanya, merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan fiskal negeri selaras dengan semangat dan hak yang dijamin di bawah MA63.
— TAMAT
