MA63 bukan puisi lama, sudah tiba masa ditunaikan” : Matbali

KOTA KINABALU:Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa sebarang penangguhan atau alasan baharu.

Beliau berkata, mahkamah telah membuat tafsiran jelas berhubung perkara itu, manakala undang-undang sedia ada juga memberi ruang mencukupi bagi pelaksanaannya.

“Tinggal kemahuan politik sahaja yang menentukan sama ada hak Sabah di bawah MA63 benar-benar dilaksanakan. Kita tidak meminta bulan jatuh ke riba, cuma mahu apa yang sudah termaktub dalam perjanjian itu direalisasikan segera, tanpa alasan demi alasan yang berpusing seperti roda tanpa henti,” katanya ketika berbahas atas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Matbali turut merujuk penjelasan Perdana Menteri pada 22 Oktober lalu berhubung komitmen kerajaan MADANI dalam isu pemberian khas kepada Sabah serta pelaksanaan MA63, yang menurutnya menggambarkan kesungguhan Kerajaan Pusat memahami aspirasi rakyat negeri ini.

Katanya, keterangan itu memperlihatkan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar prihatin terhadap hak dan kedudukan Sabah sebagaimana termaktub dalam perjanjian bersejarah berkenaan.

“Selama ini, MA63 seolah-olah hanya menjadi puisi lama yang sering diulang tanpa makna. Namun saya yakin, kerajaan hari ini yang berjiwa MADANI akan menterjemahkan janji itu dalam bentuk tindakan, bukan lagi sekadar wacana,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sabah hanya menuntut hak yang telah sedia termaktub dalam perjanjian tersebut.

Matbali turut membandingkan pembangunan infrastruktur antara Sabah dan Semenanjung, dengan menekankan bahawa negeri ini masih jauh ketinggalan dari segi kemudahan asas.

“Di Semenanjung, ada lebuh raya enam lorong dan kereta api laju, sedangkan di Sabah masih banyak jalan kampung berlubang yang menunggu puluhan tahun untuk dibaiki. Sabah sering digambarkan kaya dengan hasil bumi, tetapi rakyatnya masih miskin di dapur sendiri,” katanya.

Beliau menambah, rakyat sering mempersoalkan kelewatan kemajuan di Sabah dan kerajaan hari ini menjadi sasaran kritikan, walhal banyak urusan pentadbiran negeri masih terikat kepada kuasa Persekutuan.

“Urus tadbir tanpa kuasa penuh ibarat kapal tanpa kemudi. Sebab itu saya menyeru agar kerajaan negeri dan Persekutuan berganding bahu melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam MA63,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi, Matbali mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu MA63 sekadar bahan kempen politik.

“Laksanakan amanah ini dengan jujur dan bersungguh-sungguh supaya rakyat melihat keikhlasan kerajaan hari ini. Jangan biar MA63 hanya didendangkan semasa pilihan raya, lalu hilang dalam senyap selepas itu,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles