Kerajaan Sabah fokus pendidikan digital, TVET dan STEM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh aspirasi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dengan memberi penekanan kepada pendidikan digital, pembangunan infrastruktur sekolah, kesejahteraan guru, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap aspek keadilan pendidikan, pendidikan inklusif luar bandar, penerapan nilai dan identiti tempatan serta pemerkasaan kepimpinan sekolah.

Menurutnya, menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, isu kritikal seperti sekolah daif dan kekurangan guru di kawasan pedalaman Sabah diyakini dapat ditangani secara lebih menyeluruh sepanjang tempoh pelaksanaan rancangan 10 tahun itu.

“Kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan agenda memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan serta mutu pendidikan di negeri ini termasuk menambah baik prasarana pendidikan.

“Kehadiran pegawai kanan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini melambangkan kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan khususnya dalam pelaksanaan fasa awal RPM 2026-2035,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-4 Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Sabah di sini, pada Ahad.

Ucapan beliau disampaikan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib.

Hajiji berkata, pendidikan terus menjadi agenda utama kerajaan negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), walaupun bidang pendidikan berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Katanya, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 bantuan pendidikan diperkenalkan kerajaan negeri dan semua inisiatif berkenaan diteruskan tahun ini bagi membantu mengurangkan beban sekolah serta memastikan murid di Sabah tidak tercicir daripada arus pendidikan perdana.

“Antara bantuan pendidikan yang disediakan ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).

“Turut disediakan ialah Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), selain pembiayaan pendidikan seperti biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian dan bantuan zakat,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Guru Besar memainkan peranan penting sebagai pemimpin utama sekolah dan menjadi tulang belakang dalam membentuk kualiti pendidikan serta masa depan generasi muda di negeri ini.

Menurutnya, cabaran dunia pendidikan masa kini menuntut pemimpin sekolah bukan sahaja cekap dalam pentadbiran, malah mempunyai empati tinggi terhadap warga sekolah serta berupaya memimpin perubahan.

“Justeru, saya berharap persidangan ini menjadi medan terbaik untuk merangka hala tuju masa depan, menilai pencapaian dan membincangkan strategi bagi menyokong agenda pendidikan negara.

“Saya juga berharap PGBM Sabah terus menjadi wadah kukuh dalam menyuarakan aspirasi Guru Besar demi memartabatkan profesion keguruan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles