Kerajaan Negeri perkasa modal insan, lahir tenaga Kerja mahir hadapi ekonomi masa depan

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan bakat tempatan merupakan antara keutamaan kerajaan bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah mampu merebut peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang diwujudkan hasil kemasukan pelaburan baharu dan perkembangan sektor ekonomi strategik.

Beliau berkata, kerajaan mahu melihat lebih ramai anak Sabah muncul sebagai jurutera, teknologis, juruteknik mahir, saintis data, pakar AI serta pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global.

HADIR: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 Zon Sabah di Ballroom Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Isnin.

“Kerajaan Negeri terus komited melaksanakan agenda pembangunan berteraskan rakyat melalui Hala Tuju SMJ 2.0 dengan matlamat membina sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan inklusif, di mana hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 Zon Sabah di Ballroom Magellan Sutera Resort, di sini, Isnin.

Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.

Hajiji berkata, dunia pekerjaan kini sedang melalui transformasi besar yang dipacu oleh teknologi digital, automasi dan kecerdasan buatan, sekali gus mengubah landskap pekerjaan serta mewujudkan pelbagai peluang kerjaya baharu yang memerlukan kemahiran berbeza.

Sehubungan itu, beliau menyeru kesatuan sekerja agar bergerak seiring dengan perubahan semasa melalui pendigitalan organisasi, peningkatan kemahiran ahli (upskilling) serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

Beliau turut menggesa kerjasama erat antara kesatuan sekerja, majikan, institusi latihan dan agensi kerajaan bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan peluang latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran kepada para pekerja.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 yang memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

PENYERAHAN: Ewon mewakili Ketua Menteri Sabah menyampaikan bantuan kepada wakil kesatuan sekerja pada Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS 2026 Zon Sabah di Ballroom Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu — sebahagian daripada peruntukan RM310,000 yang disalurkan kepada 38 kesatuan sekerja

“TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya menjadi laluan utama dalam menyediakan tenaga kerja yang diperlukan industri masa hadapan.

“Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju serta teknologi hijau yang semuanya memerlukan tenaga kerja kompeten dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Hajiji berkata, kejayaan pembangunan negeri memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni, stabil dan mampan.

Beliau berkata, majikan perlu terus mengamalkan budaya kerja yang adil, prihatin dan berintegriti, manakala pekerja hendaklah sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran agar kekal relevan dengan kehendak industri.

Pemimpin kesatuan sekerja pula perlu terus memainkan peranan sebagai suara yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh dalam memperjuangkan kebajikan pekerja serta menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

Pada masa sama, Hajiji berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan penting kesatuan sekerja sebagai jambatan yang menghubungkan aspirasi pekerja, majikan dan kerajaan, selain menjadi antara pemangkin kepada kestabilan hubungan perusahaan serta keyakinan pelabur.

Beliau berkata, menerusi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS), Kerajaan MADANI memperuntukkan RM6.1 juta bagi pelaksanaannya di seluruh negara pada tahun ini, termasuk RM310,000 yang disalurkan kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah. “Gunakanlah peruntukan ini sebaik-baiknya dan dengan penuh amanah bagi meningkatkan kompetensi ahli, memperkukuh sistem pengurusan organisasi serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada para pekerja,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles