TAWAU: Kerajaan negeri merancang melaksanakan program khusus bagi melonjakkan penglibatan belia dalam industri kreatif melalui pendekatan lebih tersusun, berimpak tinggi dan diselaras merentas kementerian.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan bakat belia dibuat secara menyeluruh serta mampu menjana pendapatan mampan.
Menurutnya, pengukuhan sektor ekonomi kreatif menjadi antara fokus utama kementerian bagi memaksimumkan potensi anak muda Sabah dalam pelbagai bidang berasaskan bakat, kemahiran dan inovasi.
“Sejak dilantik sebagai menteri, saya telah menggariskan hala tuju kepada pimpinan dan ketua-ketua jabatan supaya program disusun serta diurus dengan lebih terancang.
“Kita mahu memastikan anak-anak Sabah yang mempunyai kebolehan dalam bidang seni kreatif seperti kraftangan, nyanyian, solekan, kandungan digital dan ekonomi gig dibimbing serta dilonjakkan potensinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sumbangan Kembali ke Sekolah Tahun 2026 di Balai Raya Kampung Titingan, di sini, hari ini.
Nizam berkata, pelaksanaan program itu tidak akan dibuat secara berasingan, sebaliknya diselaraskan dengan kementerian lain termasuk inisiatif sedia ada di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ), bagi mengelakkan pertindihan serta memaksimumkan impak perbelanjaan kerajaan.
“Kita meminta pegawai kementerian berkolaborasi dengan kementerian lain yang telah mempunyai program pembangunan kemahiran seperti pertanian, teknikal dan keusahawanan.
“Penyelarasan ini penting supaya setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi pulangan maksimum kepada belia,” katanya.
Menurut beliau, kementeriannya kini memberi tumpuan membangunkan modal insan yang berdaya saing agar belia bukan sekadar mengisi masa tanpa manfaat, sebaliknya mampu menjana pendapatan harian untuk diri dan keluarga.
“Industri kreatif bukan terhad kepada seni tari atau lakonan semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi gig yang kian berkembang pesat. Kesemuanya merupakan sebahagian daripada ekonomi kreatif,” katanya.
Nizam berkata, semua program yang dirangka dalam tempoh lima tahun akan datang disasarkan memberi kesan positif kepada lebih ramai belia Sabah dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyempurnakan sumbangan beg persekolahan kepada 100 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, melibatkan murid prasekolah hingga Tingkatan Tiga.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Al-Nur Marketing Sdn Bhd dan Syarikat Manawan Dunia, selain sumbangan wang tunai daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bagi membantu meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.
“Sumbangan ini bukan sahaja membantu keluarga, malah menjadi suntikan semangat kepada anak-anak bahawa kepimpinan sentiasa bersama rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam memastikan pendidikan terus menjadi keutamaan,” katanya.
–TAMAT
