KENINGAU: Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian N.40 Bingkor, Florian Ilon, hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta keputusannya untuk keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Florian yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Exco Wiramuda Pusat berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan menyeluruh, termasuk menilai hala tuju perjuangan dan aspirasi semasa yang ingin diperjuangkannya bersama pasukan.
Menurutnya, keputusan itu turut melibatkan seramai 20 AJK Wiramuda STAR Sabah Bahagian N.40 Bingkor yang sebulat suara mengambil pendirian sama untuk menarik diri daripada parti hasil kesepakatan bersama.
“Keputusan ini dibuat secara kolektif selepas kami menilai secara mendalam pelbagai aspek berkaitan hala tuju perjuangan serta aspirasi semasa yang ingin kami perjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Florian merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan STAR Sabah atas peluang, kepercayaan serta kerjasama yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam parti berkenaan.
Beliau turut mengakui pengalaman serta bimbingan yang diterima telah banyak membentuk dirinya dan barisan Wiramuda sebagai generasi muda yang lebih peka, bertanggungjawab serta berprinsip dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Segala pengalaman dan bimbingan yang diberikan amat kami hargai dan akan terus menjadi bekalan berharga dalam perjalanan kami sebagai anak muda yang mahu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Florian menegaskan, keputusan meninggalkan parti tidak bermakna perjuangan dan khidmat bakti kepada masyarakat akan terhenti, sebaliknya akan diteruskan dalam kapasiti yang lebih sesuai dan berkesan, selaras dengan prinsip serta nilai yang dipegang.
“Kami percaya khidmat kepada rakyat boleh diteruskan melalui pelbagai saluran dan pendekatan, demi memastikan sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat setempat,” katanya.
–TAMAT
