Kepelbagaian kekuatan Sabah, bukan alasan berpecah — Wanita GRS seru perpaduan dipertahan

KOTA KINABALU:Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya terus mempertahankan perpaduan, keamanan dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan Sabah, di samping menghormati kuasa autonomi imigresen yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta menolak budaya fitnah dan politik kebencian.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata Sabah dibina atas semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, justeru sebarang cubaan mencetuskan perpecahan melalui provokasi, fitnah atau sentimen perkauman dan keagamaan perlu ditolak tanpa kompromi.

Beliau berkata, Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran individu yang datang dengan niat baik ,sama ada untuk bekerja, melabur, berniaga atau berkunjung ,namun setiap orang yang berada di negeri ini perlu menghormati undang-undang, adat resam, budaya dan nilai kehidupan masyarakat Sabah.

“Sabah adalah rumah kita. Menjaga keamanan, keharmonian dan perpaduannya bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi amanah seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Azizah turut menggesa semua pihak menghormati kuasa autonomi imigresen Sabah yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan merupakan antara syarat asas pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, kuasa itu diperuntukkan di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 serta diperakui oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Pihak Berkuasa Negeri Sabah lwn Sugumar Balakrishnan (2002).

“Sehubungan itu, Wanita GRS menghormati keputusan Kerajaan Negeri berhubung sekatan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sarafi, yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, Azizah menegaskan bahawa Wanita GRS mengiktiraf hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman sebagaimana dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab serta tertakluk kepada undang-undang.

Beliau berkata, demokrasi tidak pernah memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk menghina, memfitnah atau membuat tuduhan tanpa bukti.

“Wanita GRS mengecam sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak, termasuk aktivis belia dan mahasiswa, yang mengeluarkan kenyataan atau hantaran media sosial berunsur fitnah serta tuduhan tidak berasas terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mahupun institusi kerajaan negeri.

“Prinsip keadilan menetapkan bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya berdasarkan tuduhan atau persepsi. Seseorang hanya boleh disabitkan bersalah melalui proses perundangan dan keputusan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa,” katanya.

Mengulas komitmen kerajaan negeri terhadap tadbir urus, Azizah berkata pentadbiran pimpinan Hajiji Haji Noor terus memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Beliau berkata, tuduhan tanpa bukti terhadap kepimpinan negeri bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Azizah turut menyeru seluruh rakyat Sabah supaya terus menjunjung Rukun Negara, menghormati Perlembagaan Persekutuan serta menghayati semangat MA63 sebagai asas pembentukan Malaysia.

“Kepelbagaian adalah kekuatan Sabah, bukannya alasan untuk berpecah.

“Marilah kita bersama mempertahankan keamanan, keharmonian dan perpaduan negeri ini. Sabah adalah rumah kita, dan rumah ini tidak akan kita biarkan dirosakkan oleh fitnah, kebencian atau politik yang memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles