Kenaikan elaun JKKK pemangkin transformasi akar umbi

KOTA KINABALU: Kenaikan elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan kepimpinan akar umbi serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di Sabah.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik berkata, inisiatif itu bukan sekadar pengumuman pentadbiran, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kebangkitan kepimpinan di peringkat kampung.

Menurutnya, kenaikan elaun tersebut wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengerusi JKKK bagi mempertingkatkan keberkesanan peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Di peringkat kampunglah bermulanya denyut nadi Sabah. JKKK bukan sekadar jawatan, tetapi benteng pertama rakyat untuk menyuarakan masalah, mendapatkan pembelaan serta menaruh harapan terhadap masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat luar bandar sejak sekian lama bergantung kepada kepimpinan tempatan sebagai suara dan wakil mereka, justeru amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, keberanian dan komitmen tinggi.

Yazid turut menegaskan bahawa kenaikan elaun itu perlu menjadi pemangkin kepada perubahan sikap serta budaya kerja yang lebih proaktif dalam kalangan pemimpin kampung.

“Rakyat kini semakin matang dan menilai kepimpinan berdasarkan keupayaan melaksanakan tanggungjawab, bukan sekadar gelaran.

“Rakyat tidak lagi mahukan kepimpinan yang hanya muncul dalam majlis rasmi tanpa memahami realiti kehidupan di lapangan,” tegasnya.

Beliau dalam masa sama menyifatkan langkah kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor sebagai bukti komitmen dalam memperkukuh institusi kepimpinan kampung.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh hingga ke kawasan luar bandar.

“Kepimpinan kampung adalah kekuatan sebenar Sabah. Apabila JKKK kukuh, rakyat akan lebih berdaya dan negeri ini mampu bangkit dengan maruah serta jati diri sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin JKKK agar menjadikan kenaikan elaun berkenaan sebagai titik perubahan untuk memperjuangkan kebajikan rakyat secara inklusif tanpa mengira latar belakang. “Sabah hanya akan terus maju apabila pemimpinnya berjalan seiring rakyat, memahami kesusahan mereka dan berjuang tanpa mengenal lelah demi masa depan generasi akan datang,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles