Joniston ikrar teruskan agenda pembangunan Kiulu jika diberi mandat baharu

KIULU:Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan bahawa mandat rakyat adalah satu amanah besar yang akan memastikan pelan pembangunan Kiulu dapat direalisasikan secara konsisten dan menyeluruh.

Beliau berkata, perancangan pembangunan yang telah disusun merupakan lanjutan daripada usaha berterusan yang dilaksanakan sejak beliau mula mewakili Kiulu pada tahun 2013.

“Kiulu kini mempunyai asas pembangunan yang kukuh. Jika diberi mandat sekali lagi, kita akan membawa Kiulu ke fasa pembangunan seterusnya. Mandat rakyat adalah amanah yang mesti ditunaikan,” katanya.

Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan pelan pembangunan Kiulu sebagai projek jangka panjang yang memberi keutamaan kepada ekonomi, infrastruktur, pendidikan, pelancongan serta peluang kepimpinan untuk belia dan wanita.

Bekas wartawan itu pernah berkhidmat sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, selain Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di bawah pentadbiran GRS serta sebelum itu di bawah Barisan Nasional (BN) dari 2013 hingga 2018.

Beliau dikenali sebagai antara perintis pembangunan pelancongan luar bandar dan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah, dengan Kiulu menjadi model utama kejayaan sektor tersebut.

“Kiulu berpotensi besar di peringkat antarabangsa. Kita akan terus memperkukuh produk pelancongan luar bandar yang memberi manfaat langsung kepada penduduk terutama pengusaha kecil dan komuniti desa,” katanya.

Pelan pembangunan Kiulu juga menekankan agenda pemerkasaan pertanian moden, industri kecil dan sederhana, peningkatan jaringan ekonomi tempatan dan penyertaan aktif golongan muda dalam kepimpinan akar umbi.

Joniston turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi GRS dan PBS, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam atas kepercayaan untuk terus menerajui Kiulu.

Beliau berkata jentera GRS kini sedang aktif turun ke lapangan bagi memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta mendengar keperluan sebenar rakyat.

“Saya menyeru rakyat Kiulu agar terus bersatu dan menilai berdasarkan rekod kerja serta pencapaian yang telah kita capai bersama. Pembangunan Kiulu tidak boleh terhenti separuh jalan,” katanya.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles