TUARAN:Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor memberi peringatan bahawa program pembangunan dan pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri berisiko terbantut sekiranya pembangkang kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRU17 Sabah) pada 29 November ini.
Menurutnya, pengalaman ketika Parti Warisan mengambil alih kerajaan pada 2018 menjadi pengajaran penting apabila beberapa keputusan yang dibuat ketika itu memberi kesan besar terhadap ekonomi dan perkhidmatan asas negeri.
“Konsesi air dipotong sehingga kerajaan menanggung kerugian lebih RM315 juta. Mereka tidak fikir kesannya, cuma mahu balas dendam dan tabur fitnah.
“Pemimpin seperti ini tidak boleh diberi mandat semula. Jika diberikan kuasa, hancurlah usaha pembangunan yang telah kita mulakan,” katanya ketika merasmikan Penutupan Hari Sukan dan Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman, pada Khamis di sini.
Hajiji turut menegur tindakan seorang bekas ahli Kabinet yang pernah mencuba mengambil alih kerajaan melalui apa yang dikenali sebagai Langkah Kinabalu, namun dikatakan tidak menunjukkan prestasi memuaskan semasa berada dalam kerajaan.

“Semasa jadi menteri, mesyuarat pun jarang hadir. Jalan berlubang pun tidak diselesaikan.
“Sekarang mendakwa kerajaan gagal, sedangkan mereka yang gagal menjalankan tugas ketika diberi peluang,” katanya.
Ketua Menteri berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan prestasi cemerlang menerusi pencapaian dalam sektor ekonomi, pelaburan, pendidikan, kebajikan rakyat dan pembangunan luar bandar.
Beliau menegaskan bahawa kesinambungan ini hanya dapat dipertahankan jika rakyat memberikan sokongan kukuh kepada kerajaan GRS pada PRU17 Sabah.
“Rakyat sudah menikmati hasil pembangunan. Jika kerajaan bertukar, semua ini terjejas.
“Kita perlukan mandat baharu untuk memastikan semua usaha dan agenda yang sedang berjalan tidak tergendala,” katanya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut membayangkan kesediaannya menghabiskan penggal DUN Sabah ke-17 sebagai Ketua Menteri sekiranya GRS memenangi pilihan raya kali ini.
Katanya, fokus utama beliau adalah memastikan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat diteruskan dengan lebih agresif selama lima tahun akan datang.
“Tugas saya ialah melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah. Penyokong di Sulaman juga tidak pernah saya abaikan walaupun banyak tugasan negeri.
“Jangan aniaya atau tekan orang. Siapa bekerja dengan baik, kita kekalkan, walaupun latar belakang politik mereka berbeza,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa kemenangan besar GRS adalah penting untuk kestabilan politik negeri yang selama ini menjadi faktor utama pertumbuhan ekonomi Sabah.
Hajiji turut menyeru semua pemimpin parti komponen dan jentera akar umbi di Tuaran supaya terus memperkukuh perpaduan serta memastikan sokongan rakyat berpihak kepada GRS.
“Untuk menang, kita mesti bersatu. Lebih baik memilih parti kita sendiri daripada memilih pihak lain.
“Inilah masa menentukan masa depan Sabah — jangan terpedaya dengan retorik pembangkang,” katanya.
–TAMAT
